Pakatan Harapan (PH) mendakwa kemenangan pihak lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan didorong oleh mainan politik identiti dan perkauman yang disifatkan berada pada tahap luar biasa.
Pengarah Pilihan Raya PH Negeri Sembilan, Amirudin Shari berkata, taktik yang digunakan pihak lawan itu hampir sepenuhnya menyemai unsur perpecahan sehingga mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
"PRN kali ini melihat politik perkauman yang luar biasa bersifat identiti... dan hampir sepenuhnya mampu menyemai unsur-unsur perpecahan di kalangan masyarakat dalam negeri dan negara.
"Saya percaya ini akan menimbulkan dan terus mewujudkan kegelisahan serta perasaan syak wasangka di kalangan rakyat terutamanya di antara kaum Melayu dan bukan Melayu," katanya dalam satu sidang media sebentar tadi di Seremban.
Turut hadir bekas menteri besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, pemimpin dari Amanah Khalid Samad, Mohd Sany Hamzan dan Faiz Fadzil.
Menurut Amirudin yang juga naib presiden PKR pendekatan politik identiti langsung tidak membantu usaha memajukan negeri mahupun negara.
"Fokus sepatutnya diberikan kepada isu-isu asas rakyat seperti ekonomi tempatan, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak, kos sara hidup, serta kebajikan.
"Namun, perkara tersebut diabaikan sepanjang tempoh kempen oleh pihak lawan," katanya.
Mengulas mengenai kekalahan PH, Amirudin menolak tanggapan bahawa keputusan itu berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri.
"Berdasarkan trend pengundian (vote trend), ia politik identiti. Lihat balik semasa pentadbiran Tok Min di bawah PH, memang bagus kerajaan Negeri Sembilan.
"Jadi kami rasa isu pengundi kecewa dengan kerajaan negeri dan pusat tidak wujud," tegasnya.
Katanya, walaupun gelombang politik identiti berlaku secara besar-besaran di kawasan majoriti Melayu dan membimbangkan politik nasional, sokongan pengundi Melayu terhadap PH di Negeri Sembilan masih boleh dibanggakan berbanding negeri-negeri lain.
"Sebagai contoh di DUN Pilah, PH hanya kalah dengan majoriti sekitar 800 undi sahaja.
"Kita dah cuba sehabis baik... menyampaikan mesej menerusi siri walkabout dan media sosial, tapi ia tak terjadi.
"Di sini yang menjadi isunya sama ada ia Melayu atau bukan Melayu... nisbah pengundi bukan Melayu kita masih sangat meyakinkan," katanya.
Sementara itu, Aminuddin yang mesra dipanggil Tok Min berkata bahawa reda dengan keputusan yang memihak kepada pihak lawan.
Dia tewas di kerusi DUN Sikamat akur bahawa kempen berasaskan prestasi kerja gagal menandingi sentimen perkauman.
"Saya terima apa jua keputusan rakyat, mungkin report card saya masih tak cukup elok lagi. Saya tak ada masalah, ini biasa dalam politik.
"Kali ini saya telah mendidik (berkempen atas) prestasi kerja, bukan perkauman. Saya mungkin kalah di Sikamat dengan politik perkauman... teruskan yang terbaik kepada rakyat, jaga negeri.
"Saya tak rasa kecil hati," katanya sambil menambah perancangan Allah mempunyai hikmah tersendiri dan kini dia boleh meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan cucu-cucu setelah menjadi Adun sejak 2008.
Mengulas kedudukan Tok Min, Amirudin menegaskan bahawa dia dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke masih memainkan peranan penting sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dan Seremban.
"Loke dan Tok Min masih lagi MP Seremban dan Port Dickson.
"Mereka masih ada peranan di Negeri Sembilan... boleh menyumbang kepada negeri dan PH. DAP masih bersama PH, dan yang saya pasti DAP tak akan sertai BN atau PN," katanya.
Ketika ditanya mengenai persediaan mendepani PRN Melaka akan datang, Amirudin berseloroh bahawa keputusan itu tertakluk kepada kepimpinan negeri tersebut.
"Sama ada kita suka atau tidak, kita kena bersedia untuk Melaka. Kalau bila itu kena tanya Ab Rauf (Ketua Menteri Melaka), bukan keputusan saya," katanya.

