malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tun Faisal hilang deposit di Sikamat
Diterbitkan:  Aug 1, 2026 9:13 PM
Dikemaskini: 1:16 PM
ADS

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz mengalami kekalahan perit apabila hilang deposit dalam persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, bekas pemimpin Umno berkenaan tewas apabila sekadar meraih 511 undi.

Jumlah undi yang diraih itu selepas proses pengiraan melibatkan 56 daripada keseluruhan 61 saluran pengundian selesai dijalankan.

Pungutan undi yang amat minimum itu menyaksikan beliau gagal melepasi ambang 12.5 peratus keseluruhan undi, sekali gus menjadikan wang pertaruhannya lebur.

Persaingan di kerusi DUN Sikamat menyaksikan perebutan sengit. Calon Perikatan Nasional (PN), Razali Abu Samah, mendahului persaingan dengan mengumpul 13,819 undi.

Calon daripada Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad pula mengekori rapat di kedudukan kedua selepas memperoleh 10,060 undi.

Keputusan tidak rasmi ini meletakkan Tun Faisal jauh ketinggalan di belakang dua pesaing utamanya dalam pertembungan tersebut.

Penyertaan Tun Faisal di Sikamat adalah sebahagian daripada langkah Bersatu mengambil keputusan bertanding secara solo dengan meletakkan calon di 24 kerusi DUN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen