PRN NEGERI SEMBILAN | Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami tentang keputusan PRN Negeri Sembilan 2026.
Nantikan analisis pasca pilihan raya dari Malaysiakini.
10:15pm: Bersatu mengucapkan tahniah kepada BN susulan penguasaan mereka dalam DUN Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berkata mereka menerima keputusan hari ini setelah masuk gelanggang secara bersendirian.
"Keputusan di Negeri Sembilan menuntut Bersatu untuk mengambil tindakan yang berani bagi meningkatkan disiplin dalaman, bekerja dengan kuat dan membawa agenda perubahan yang dapat memberi manfaat terbaik untuk rakyat," katanya.

9.00pm: Semua kerusi telah diambil kira dengan BN dan PN telah memenangi 25 kerusi secara keseluruhan, manakala PH 11 kerusi.
Ini memberikan BN majoriti dua pertiga dalam badan perundangan negeri.
Pecahan parti yang menang adalah seperti berikut:
Umno - 16 (Pertang, Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Pilah, Johol, Labu, Chembong, Rantau, Kota, Linggi, Gemencheh)
MCA - 2 (Chennah, Repah)
PAS - 4 (Serting, Ampangan, Paroi, Bagan Pinang)
Wawasan - 3 (Klawang, Sikamat, Gemas)
DAP - 9 (Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut)
PKR - 2 (Chuah, Sri Tanjung)
MIC dan MIPP tewas di semua kerusi yang mereka tandingi, bermakna tidak akan ada Adun India dalam kerajaan negeri baru.
Sementara itu, tiada calon Melayu dari Pakatan Harapan menang, bermakna tiada Adun Melayu dalam pembangkang negeri.
8:58pm: Menurut Sin Chew Daily, Loke juga mengumumkan dia mempertimbangkan untuk meletak jawatan sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan bagi bertanggungjawab ke atas pencapaian parti itu dalam pengundian hari ini.
Dia akan membangkitkan perkara itu pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang akan datang dan menyerahkan kepada CEC untuk membuat keputusan.
8.25pm: BN dan PN memenangi PRN Negeri Sembilan, berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Setiausaha Agung Umno Asraf Wajdi Dusuki mendakwa BN dan PN telah memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri seterusnya, selepas masing-masing setakat ini meraih 18 dan 5 kerusi.
Kiraan Malaysiakini sendiri juga menunjukkan bahawa mereka telah melepasi ambang untuk membentuk kerajaan negeri.
Kemenangan mereka datang dengan beberapa kerusi dirampas daripada kubu PH, iaitu Chennah, Sikamat, Ampangan, dan Repah setakat ini.

8.22pm: Menurut video yang dimuat naik di laman Facebook Sin Chew Daily, Loke akur dengan kekalahannya.
Dia berkata pasukan kempen PH telah melakukan yang terbaik di Chennah tetapi masih kalah dengan lebih 500 undi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua. Tolong jangan berkecil hati atau kecewa. Kami akan terus berdiri bersama anda semua.
“Walaupun kami tidak dapat memenangi kerusi ini, anda semua akan sentiasa berada di hati kami,” katanya.
8.05pm: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, tewas di Chennah kepada calon BN yang diwakili MCA, berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Ia merupakan persaingan yang sengit, tetapi setakat penulisan ini, BN mempunyai 5,418 undi, melepasi ambang 50 peratus. Loke ketinggalan dengan 4,762 undi.
MCA juga telah memenangi satu lagi kerusi DAP, iaitu di Repah.
Seperti Chennah, ia adalah persaingan yang sangat sengit, dan keputusan tidak rasmi menunjukkan BN hanya memenangi kerusi itu dengan kurang daripada 450 undi.
8.00pm: Setakat ini kerusi yang telah diisytiharkan secara tidak rasmi adalah seperti berikut:
BN berhasil mengekalkan: Pertang, Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Juasseh, Seri Menanti, Johol, Chembong, dan Gemencheh.
PN pula telah menawan Gemas daripada Bersatu.
Di pihak PH, DAP mengekalkan Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, dan Lukut.
7.50pm: Keputusan tidak rasmi menunjukkan bahawa menteri besar sementara Aminuddin Harun tewas di Linggi.
Dengan 31 daripada 42 saluran pengundian dikira, BN mendahului dengan 1,600 undi dan telah melepasi ambang 50 peratus untuk mengekalkan kerusi tersebut.
Sementara itu, BN juga telah mengekalkan Palong manakala DAP telah mengekalkan Mambau.

7.30pm: Keputusan tidak rasmi menunjukkan DAP memenangi Bukit Kepayang, dengan jauh meninggalkan calon PN.
Malaysiakini tidak menjangkakan PN dapat mengejar kerusi majoriti bukan Melayu itu dengan hanya 28.2 peratus pengundi adalah Melayu.
DAP juga telah menang di Lobak, dengan kini mendahului dengan 7,000 undi.
Sementara itu, BN dijangka memenangi Gemencheh, dengan mendahului dengan lebih 3,600 undi selepas 35 daripada 53 peti undi dikira.
7.25pm: Kerusi Chennah yang ditandingi Siausaha Agung DAP, Anthony Loke menyaksikan persaingan sengit dalam pengiraan undi awal.
Setakat ini hanya 4,000 daripada 14,422 undi yang layak telah dikira secara tidak rasmi, tetapi dengan setiap kemas kini, undi Loke dan pesaingnya MCA, Siow Kong Choon saling memintas.
Setakat penulisan ini, Siow mendahului dengan 2,224 undi berbanding 1,825 untuk Loke.
7.10pm: Setakat ini, DAP selesa di depan dalam pengiraan undi awal di Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Mambau, Seremban Jaya dan Lukut.
Sementara itu di Repah dan Rahang, saingan sengit berlangsung antara DAP dan BN.
Di pihak BN, mereka mendahului di Pertang, Palong, Gemenceh, Linggi, dan Rantau, manakala PN selesa di hadapan bagi kerusi Gemas.

7.00pm: Setakat ini, tiada kerusi yang sedia untuk diisytiharkan berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mengatakan bahawa BN mendahului dengan 13 kerusi.
Keputusan yang ditunjukkan di ibu pejabat BN di Negeri Sembilan menunjukkan bahawa di kebanyakan kerusi, hanya empat hingga enam peti undi telah diambil kira, bermakna terdapat margin yang luas untuk dimenangi.
Malaysiakini hanya akan mengisytiharkan kerusi yang telah dimenangi.
6.50pm - Di Bukit Kepayang dan Lobak, DAP mendahului PN pada pengiraan undi awal.
Di Bukit Kepayang, DAP mempunyai hampir 2,400 undi berbanding 744 PN, manakala di Lobak DAP mempunyai lebih 1,700 undi berbanding 139 PN.
DAP memegang Lobak sejak 2004 dan Bukit Kepayang sejak 2008.
6.45pm: Institut Darul Ehsan memetik Suruhanjaya Pilihan Raya, menyatakan bahawa kadar keluar mengundi pada jam 5 petang adalah 70.15 peratus, kira-kira 1.8 peratus lebih tinggi daripada pilihan raya negeri yang lalu.
SPR belum mengeluarkan data ini di media sosial.
Bahau disenaraikan sebagai kadar keluar mengundi terendah pada masa itu iaitu 63.6 peratus. Walau bagaimanapun, ini adalah 3 peratus lebih tinggi daripada sebelumnya.
Sebaliknya, kadar keluar mengundi kedua terendah pada jam 5 petang adalah di Lobak iaitu 64.2 peratus, hampir 2 peratus lebih rendah daripada sebelumnya.

6.35pm: PN mendahului dalam pengiraan undi awal di Gemas, dengan 1,218 undi berbanding 157 untuk PH, dan 51 untuk penyandang Bersatu.
Calon PN untuk Gemas adalah dari parti serpihan Bersatu, Wawasan Negara.
Sementara itu, keputusan daripada pengiraan undi awal di Linggi dan Rantau menunjukkan bahawa kem BN-PN mendapat sokongan daripada angkatan tentera dan polis.
Di Linggi, BN memperoleh 719 undi awal, manakala 250 undi untuk PH dan 32 undi untuk Bersatu.
Di Rantau, 446 undi awal untuk BN, manakala 42 undi diperoleh oleh PH.
6.20pm: BN telah mendahului lebih awal di Rahang menurut keputusan tidak rasmi daripada DAP.
Setakat penulisan ini, BN mempunyai 1,315 undi, manakala PH mempunyai 157 undi di kubu kuat DAP. Walau bagaimanapun, ini hanya mewakili lapam peratus undi yang layak.
Rahang merupakan kerusi majoriti bukan Melayu, dengan 43.5 peratus pengundi adalah Cina, 22.5 peratus India, dan 30.7 peratus Melayu.
6.00pm: Pusat pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ditutup. Undi mula dikira.
Malaysiakini akan menunggu angka yang lebih substansial sebelum melaporkan keputusan awal.
Tidak seperti PRN Johor, Suruhanjaya Pilihan Raya belum mengeluarkan angka keluar mengundi pada pukul 5 petang setakat penulisan ini. Data tersebut dikeluarkan pada pukul 5.35 petang semasa PRN Johor.
Walau bagaimanapun, kadar keluar mengundi akhir dijangka melebihi 68.3 peratus yang ditetapkan oleh pilihan raya negeri 2023.
Seri Menanti dan Labu dijangka melebihi kadar keluar mengundi sebelumnya di kerusi masing-masing manakala Kota, kubu kuat Umno, melepasi penanda aras tersebut pada pukul 4 petang.
Sementara itu, kadar keluar mengundi di Labu dan Lobak lebih rendah berbanding angka 2023 pada pukul 4 petang tetapi ada kemungkinan jurang itu dapat dirapatkan.

5.30pm: Kadar keluar mengundi setakat 4 petang adalah 65.38 peratus, iaitu 3.49 peratus lebih tinggi daripada kadar keluar mengundi semasa PRN 2023.
Dari segi kerusi individu, sekurang-kurangnya tiga kerusi, Kota, Seri Menanti dan Labu telah melebihi paras 70 peratus.
Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya tiga kerusi, Bahau, Lukut, dan Lobak masih pada kadar 59 peratus keluar mengundi.
Lukut dan Lobak - yang merupakan kerusi majoriti bukan Melayu - secara konsisten berada antara yang terendah dari segi kadar keluar mengundi sepanjang hari.

