Permaisuri Selangor Tengku Norashikin menzahirkan rasa amat dukacita, kecewa dan marah terhadap insiden kekejaman terhadap haiwan, khususnya anjing dan kucing.
Baginda bertitah demikian hari ini, tiga hari selepas tular insiden kematian seekor anjing bernama Rocky di Pelabuhan Klang ketika ditangkap oleh penguat kuasa tempatan.
Tengku Norashikin selaku penaung diraja kepada inisiatif Selangor bebas haiwan terbiar (SFS) bertitah bahawa perbuatan menyeksa, mencederakan, membunuh atau memperlakukan haiwan secara kejam bukan saja bertentangan dengan undang-undang.
Malah, titah baginda, ia mencerminkan kegagalan kita mempertahankan nilai belas ihsan sesama makhluk dan kemanusiaan yang menjadi asas kepada sebuah masyarakat bertamadun.
“DYMM Tengku Permaisuri Selangor bertitah bahawa tiada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan akan diterima atau ditoleransi. Tidak kira siapa pelakunya.
“Tidak kira apa jawatannya. Tidak kira apa pun bangsa atau agama. Tidak kira atas alasan apa sekali pun,” menurut kenyataan Istana Selangor.

Tengku Norashikin turut menegaskan bahawa pendirian itu terpakai kepada semua, sama ada individu, organisasi, syarikat mahupun mana-mana agensi kerajaan dan pihak berkuasa.
“Tiada sesiapa berada di atas undang-undang.”
Rakaman video tular itu memaparkan pergelutan dan pertengkaran beberapa individu dan penguat kuasa, termasuk adegan cubaan memotong ikatan anjing dan tarik-menarik, yang berakhir dengan kematian Rocky.
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mendakwa pergelutan dan kekecohan menyebabkan anggotanya tidak dapat melonggarkan dan menanggalkan peralatan penangkap bagi memastikan keselamatan haiwan itu.
Operasi bersama sekumpulan penduduk itu berjaya menangkap 12 ekor anjing menggunakan peralatan gelung yang mematuhi standard Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kata MBDK.
Insiden itu menjadi kes polis dan disiasat bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh haiwan.
Baginda berpandangan bahawa mana-mana pihak yang melakukan kekejaman terhadap haiwan hendaklah disiasat secara menyeluruh dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya, termasuk jika ia dilakukan oleh pihak berkuasa sendiri.
“Baginda percaya bahawa cara kita melayan haiwan mencerminkan siapa diri kita sebagai manusia,” kata istana.

