malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam: MB baru N Sembilan perlu angkat sumpah depan Tuanku Muhriz
Diterbitkan:  Aug 1, 2026 5:10 PM
Dikemaskini: 9:10 AM
ADS
2

Pilihan Raya N Sembilan | Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru perlu mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kata peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Dia berpandangan bahawa walaupun terdapat pertikaian mengenai status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri, terdapat status quo mengenai kedudukan Tuanku Muhriz susulan injunksi yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.

Rafique membangkitkan bahawa Tuanku Muhriz juga yang telah memperkenankan pembubaran DUN Negeri Sembilan pada 4 Jun.

"Pandangan serta hemat saya perlu dan mesti mengadap Yamtuan yang memperkenan pembubaran tempoh hari.

"Pembubaran tersebut adalah sah. Selepas pembubaran semua pihak masuk PRN serta berkempen. Ini pengesahan senyap (tacit approval) kedudukan Yamtuan Besar.

"Begitu juga dengan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang setakat ini memberi injunksi dalam kes yang difail di mahkamah. Maka status quo. Balik pada keadaan asal setakat ini.

"Negara kita ada undang-undang.Ia terpakai juga di Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kedudukan Tuanku Muhriz dipertikaikan selepas empat Undang Negeri Sembilan mengumumkan pada April bahawa mereka telah sebulat suara memutuskan untuk melucutkan baginda daripada jawatan.

Pertikaian itu semakin memuncak apabila Undang Yang Empat, bersama-sama tunku besar Tampin dan datuk syahbandar, mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.

Ini telah mencetuskan persoalan sama ada parti atau gabungan yang membentuk majoriti akan mengemukakan calon menteri besar mereka di hadapan Tuanku Muhriz atau Tunku Nadzaruddin.

Sebelum ini timbul khabar angin yang mengatakan jika BN mencatatkan kemenangan malam ini, majlis angkat sumpah akan diadakan di hadapan Tunku Nadzruddin di Istana Serting di Bahau dan bukannya Seri Menanti.

Bagaimanapun, ia telah dinafikan oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang berkata ia adalah pembohongan yang disebarkan oleh pesaing politik BN.

Mohamad dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata bahawa spekulasi itu hanya naratif oleh pihak yang cuba melancarkan perang psikologi terhadap BN agar rakyat marah kepada gabungan itu.

Dia juga menafikan mengetahui sebarang rancangan sedemikian dan meminta rakyat tidak terpedaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2