Dalam keadaan dasar, budaya dan nilai Umno sama, kata Marzuki Mohamad, ada parti yang sudah “melupakan” slogan Umdap yang menjadi kempen mereka selama ini.
Dan kata bekas pegawai kanan Muhyiddin Yassin itu, slogan berkenaan ‘dilupuskan’ sekelip mata. Namun, tambahnya, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana ia bukanlah satu-satunya perubahan yang berlaku.
“Maka gugurlah ‘dosa’ kawan tahalluf Umno sepertimana gugurnya jiwa dan jasad yang mati ‘syahid’ atas nama menentang parti ‘taghut’ Umno empat dasawarsa yang lalu.
“Jernihlah keruh Umno. Sedangkan Umno tetap sama. Dasar Umno tetap sama. Budaya Umno tetap sama. Nilai Umno tetap sama.
“Yang berubah hanyalah kepentingan politik. Inilah satira politik Malaysia,” tulisnya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Walaupun tidak memetik sebarang nama atau parti, Marzuki dipercayai menujukan sindiran itu kepada PAS yang kini secara terbuka bekerjasama dengan BN menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Insiden “empat dasawarsa” yang disebutnya itu dipercayai merujuk kepada tragedi Memali yang menyaksikan 18 orang maut, termasuk empat anggota polis.
Empat belas korban yang lain merupakan ahli atau penyokong PAS.
PAS bertegas menganggap kematian penyokong mereka itu sebagai mati syahid.

Semalam ahli akademik itu menyindir PAS dengan menganggap penggunaan logo PN dibuat oleh parti itu bagi menyembunyikan wajah sebenar mereka di hadapan pengundi bukan Melayu.
Bagaimanapun pandangan itu – yang selari dengan apa dinyatakan Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin – dinafikan seorang pegawai kanan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Asalnya Bersatu dan PAS akrab membentuk PN bermula selepas jatuhnya PH di Putrajaya kesan Langkah Sheraton pada 2020. Ketika itu PAS – yang sebelumnya bekerjasama dengan Umno membentuk Muafakat Nasional – mengambil tindakan sepihak menubuhkan PN bersama Bersatu.
Bagaimanapun hubungan PAS dan Bersatu menjadi tegang ekoran beberapa insiden, seperti tersingkirnya salah seorang pemimpin mereka dari jawatan Menteri Besar Perlis.
Untuk rekod pertukaran jawatan menteri besar itu bukan saja memburukkan lagi hubungan PAS dan Bersatu malah menyebabkan konflik dalaman kepada PAS.

