Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mengisytiharkan pemecatan jawatan Undang Luak Jelebu Maarof Mat Rashad, dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong Badarudin Abdul Khalid selepas menerima serta mengambil maklum keputusan pelucutan kedua-dua penyandang mengikut adat luak masing-masing.
Pemecatan Maarof berkuat kuasa pada 31 Mei 2023 manakala pemecatan Badarudin Abdul Khalid berkuat kuasa pula pada 30 Julai lalu, menurut kenyataan DKU hari ini.
DKU juga mengesahkan kedudukan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sekali gus menolak pengisytiharan empat Undang yang memecat baginda pada April lalu.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata badan adat tertinggi negeri itu bermesyuarat semalam, sehari sebelum pengundian pilihan raya negeri hari ini.

Menurutnya, DKU memutuskan pengisytiharan bertarikh 19 April oleh empat Undang Negeri Sembilan yang memecat Tuanku Muhriz sebagai "bercanggah dengan perlembagaan" dan tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang.
"DKU selanjutnya menasihati dan memutuskan bahawa individu yang mendakwa memegang jawatan sebagai Undang Sungai Ujong, Undang Rembau dan Undang Jelebu, iaitu masing-masing Mubarak Thahak, Abdul Rahim Yasin dan Maarof Mat Rashad, pada setiap masa yang berkaitan sama ada terhenti daripada memegang jawatan tersebut atau tidak pernah memegang jawatan itu secara sah.
"DKU memutuskan bahawa Undang Sungai Ujong dan Undang Jelebu masing-masing dilucutkan mengikut adat luak masing-masing pada tarikh yang berkenaan, manakala individu yang mendakwa sebagai undang Rembau tidak pernah dilantik secara sah mengikut adat yang ditetapkan dan pelantikannya juga tidak pernah disempurnakan menerusi istiadat pengisytiharan pelantikan Undang," kata Raja Norazli.
Raja Norazli berkata DKU juga menerima keputusan sekumpulan pembesar Jelebu yang memecat Maarof selepas mereka dipanggil menghadiri mesyuarat semalam bagi membolehkan aduan mereka didengar.
Bagaimanapun, kedudukan kumpulan pembesar yang mendakwa Maarof melanggar adat Luak Jelebu itu turut dipertikaikan.

Kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar mula dipersoalkan selepas empat Undang mengumumkan pada April lalu bahawa mereka sebulat suara memutuskan untuk melucutkan baginda daripada jawatan tersebut.
Pertikaian institusi diraja itu semakin meruncing apabila Undang Yang Empat, bersama Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.
Krisis perlembagaan itu kemudian merebak ke arena politik apabila BN Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.
BN mendakwa Aminuddin gagal mengendalikan pertikaian tersebut sehingga keadaan semakin meruncing, sekali gus membawa kepada pembubaran DUN pada 4 Jun lalu.

