PRN N SEMBILAN | Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, mempersoalkan pelaksanaan projek perintis sistem pengesahan pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan menyatakan perkara itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dengan para calon.
Penyandang menteri besar itu berkata sistem yang diperkenalkan di pusat mengundi SMA Dato' Klana Petra Maamor itu berkemungkinan melambatkan proses pengundian dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi.
“Kami tidak tahu apa yang diperkenalkan atau sama ada ia benar-benar akan membantu atau tidak.
“Kami bimbang ia boleh mengganggu proses pengundian hari ini. Ia mungkin melambatkan proses dan orang ramai boleh menjadi marah,” katanya dipetik FMT.
Aminuddin yang juga calon PH bagi kerusi Linggi berkata demikian selepas mengundi di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Sikamat, pagi ini.
SPR sedang melaksanakan projek perintis sistem optical character recognition-voter attendance (OCR-VA) di pusat mengundi Ampangan itu, melibatkan saluran mengundi satu hingga tujuh.
Sistem tersebut mengimbas maklumat pada MyKad pengundi secara automatik untuk merekodkan kehadiran mereka, sekali gus menggantikan kaedah penandaan secara manual.
SPR sebelum ini memaklumkan sistem itu bertujuan mempercepatkan proses pengesahan pengundi, mengurangkan kesilapan manual serta meningkatkan kecekapan proses pengundian.
SPR turut menjelaskan sistem tersebut tidak merekodkan pilihan undi seseorang atau menjejaskan kerahsiaan undi.
Menurut FMT, calon PH bagi kerusi Ampangan, Nazri Kassim, turut mempersoalkan masa pelaksanaan projek perintis itu dengan menegaskan tiada seorang pun calon dimaklumkan mengenainya terlebih dahulu.
Sementara itu, Bernama melaporkan Pengerusi SPR Ramlan Harun pagi tadi melawat SMA Dato' Klana Petra Maamor serta dua lagi pusat mengundi di Sikamat, iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Paroi Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said.
Dalam lawatan tersebut, dia menerima taklimat daripada petugas pilihan raya mengenai proses pengundian serta meninjau kemudahan yang disediakan untuk pengundi dan petugas pilihan raya.
SPR menyasarkan kadar keluar mengundi keseluruhan antara 72 hingga 75 peratus.
Keputusan awal dijangka diperoleh seawal jam 10 malam, manakala keputusan penuh dijangka diumumkan sebelum tengah malam.

