Polis sedang giat mengesan seorang pemandu e-hailing bagi membantu siasatan dan mengenal pasti suspek berhubung kes penularan video yang memaparkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap agama Islam di bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima satu laporan daripada seorang pegawai polis pada 3.25 petang, 31 Julai berhubung hantaran di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan tersebut.
Beliau berkata laporan dibuat setelah pegawai berkenaan melihat satu hantaran di laman sosial pada hari sama 2.30 petang, yang mendatangkan rasa tidak puas hati kerana menyentuh sensitiviti serta memburukkan agama Islam.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 30 Julai, lebih kurang 5.55 petang di kawasan Bandaraya Johor Bahru berdasarkan rakaman kamera papan pemuka yang memaparkan perbualan antara seorang lelaki dipercayai pemandu e-hailing dan seorang lelaki disyaki penumpang e-hailing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penumpang e-hailing berkenaan didakwa menghina Islam serta mengeluarkan kenyataan mengenai al-Quran dalam rakaman terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala kesalahan berulang boleh dipenjara hingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya, berserta denda tambahan bagi setiap hari kesalahan diteruskan.
Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta mengganggu proses siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di nombor 07-2182323.
- Bernama

