Polis membuka kertas siasatan kes kematian seekor anjing semasa operasi tangkapan anjing liar yang dipercayai mempunyai unsur khianat terhadap haiwan di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata anjing berkenaan disahkan mati kira-kira jam 10.50 malam dalam kejadian di hadapan sebuah rumah pada 29 Julai lalu.
Katanya bangkai anjing itu dihantar ke Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Selangor bagi tujuan bedah siasat.
Menurut Lim, operasi berkenaan dijalankan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang turut melibatkan kerjasama penduduk setempat.
“Polis mengesahkan satu kejadian yang rakaman videonya sedang tular di media sosial dengan sekumpulan lelaki mengikat dan menarik seekor anjing sambil dirayu seorang perempuan agar anjing itu dilepaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata kes disiasat mengikut seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Katanya polis turut menasihati orang ramai agar tidak menularkan video kejadian berkenaan di media sosial agar tidak mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.
Semalam, MBDK memaklumkan mereka menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh.
Menurut kenyataan itu, insiden berkenaan berlaku semasa operasi dilaksanakan dari 8.30 malam hingga 12 tengah malam, susulan aduan rasmi penduduk berkaitan gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar.
Operasi penguatkuasaan itu dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil 17(1), Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPK 2007, dengan sokongan Jawatankuasa Kesihatan, Kemasyarakatan dan Pembangunan Mampan (JKKPM) serta dimaklumkan kepada ahli majlis kawasan.
- Bernama

