malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Semua 401 pusat mengundi dibuka 8 pagi
Diterbitkan:  Aug 1, 2026 9:10 AM
Dikemaskini: 1:10 AM
ADS

PRN N SEMBILAN | Sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran bagi dibuka serentak bermula 8 pagi ini untuk membolehkan 859,760 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan menentukan kerajaan penggal mendatang.

Proses pengundian dijadualkan berlangsung hingga 6 petang ini, dengan pusat mengundi melibatkan sekolah, balai raya, dewan dan kolej.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 72 hingga 75 peratus pemilih menunaikan tanggungjawab mereka, manakala keputusan awal dijangka diumumkan seawal 10 malam sebelum keputusan penuh menjelang tengah malam.

Sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 28 Julai lalu sekali gus melepasi sasaran 90 peratus ditetapkan SPR.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa lokasi mendapati keadaan cuaca di kebanyakan kawasan adalah baik pagi ini.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia kebanyakan kawasan di Seremban, Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, Tampin, Port Dickson dan Rembau dijangka cerah dari pagi hingga tengah hari.

Bagaimanapun, pada sebelah petang, kebanyakan kawasan di negeri itu dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan PH bertanding di kesemua kerusi, diikuti BN (25), Bersatu (24), PN (11) dan empat calon bebas,

Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen