Beberapa pemimpin masyarakat India dan pertubuhan Hindu menyambut baik permohonan maaf Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung penggunaan istilah "kuil haram" ketika merujuk rumah ibadat tanpa kebenaran atau dibina di atas tanah yang dipertikaikan.
Bagaimanapun, pada masa yang sama mereka menggesa frasa itu tidak lagi digunakan pada masa depan kerana dianggap menyinggung penganut Hindu.
Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), Ganesan Thanga Ganesan, berkata pihaknya menerima permohonan maaf Anwar dengan niat baik serta memuji kesediaan perdana menteri mengakui kesilapan secara terbuka.
Menurutnya, tindakan seorang pemimpin negara mengakui kesilapan dan memohon maaf mencerminkan kepimpinan yang bertanggungjawab selain membantu mengukuhkan keyakinan rakyat, saling hormat-menghormati dan menghargai perpaduan negara.
"Walaupun menerima permohonan maaf itu dengan niat baik, MHS menegaskan istilah 'kuil haram' perlu dihentikan penggunaannya secara kekal dalam wacana awam.
"Istilah itu tidak seharusnya lagi digunakan oleh pemimpin politik, penjawat awam, agensi penguat kuasa, organisasi media atau mana-mana individu apabila merujuk kepada rumah ibadat," katanya dalam satu kenyataan.
Berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin pada satu program di Seremban pada Khamis lalu Anwar meminta masyarakat India memaafkan kesilapannya menggunakan istilah "kuil haram" ketika merujuk rumah ibadat yang dibina di atas tanah yang dipertikaikan.
Anwar yang juga Pengerusi PH itu mengakui penggunaan istilah berkenaan adalah satu kesilapan.
Ada maksud politik
Tahun lalu, ketika kontroversi membabitkan kuil Hindu di atas tanah yang dipertikaikan, Anwar menerima kritikan selepas dilaporkan merujuk rumah ibadat berkenaan sebagai "kuil haram".
Dia turut dikecam susulan kenyataannya ketika majlis pecah tanah sebuah masjid di lokasi yang turut dipertikaikan, apabila menyifatkan projek itu sebagai satu "kemenangan".
Mengulas lanjut Ganesan berkata istilah berkenaan membawa konotasi negatif yang memberi stigma terhadap kuil Hindu, melukakan perasaan penganut agama itu serta menjejaskan martabat rumah ibadat.
Menurut Ganesan, banyak kuil Hindu di Malaysia mempunyai nilai sejarah, budaya dan kerohanian yang tinggi, malah sebahagiannya wujud lebih awal daripada sistem pentadbiran tanah moden.
Sehubungan itu, katanya, isu pentadbiran atau pemilikan tanah tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap kesahihan atau kesucian sesebuah rumah ibadat.

MHS Ganesan turut menggesa semua pihak menggunakan istilah yang lebih neutral dan tepat dari sudut pentadbiran, seperti kuil tanpa pendaftaran tanah, bagi merujuk rumah ibadat yang berdepan isu dokumentasi atau tanah.
Sementara itu, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan, berkata mereka menerima permohonan maaf Anwar, namun mengaitkan perkara itu dengan sokongan politik.
"Kalau PMX minta maaf, kami maafkan. Kalau PMX minta undi, kami minta maaf," menurut grafik yang dikongsikan Punithan kepada Malaysiakini.
Untuk rekod MIPP adalah satu daripada parti komponen PN.
Dalam perkembangan berasingan, Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waythamoorthy mengambil pendirian berbeza apabila menggesa rakyat menolak permohonan maaf Anwar.
Pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) itu juga mengulangi dakwaannya bahawa penggunaan istilah "kuil haram" mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama serta menggesa kerajaan mengambil langkah pembetulan yang lebih menyeluruh.
Dia juga menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menilai keadaan keharmonian kaum dan agama serta mengemukakan cadangan pembaharuan.

