malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan tangguh semakan kes Isa Samad
ADS

Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan pendengaran permohonan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta.

Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah yang mengetuai panel tiga hakim menangguhkan prosiding itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan Rakaman dan Transkrip Mahkamah (CRT) ketika rayuan dan keputusan di Mahkamah Persekutuan pada 5 dan 10 Feb lepas.

“Berikutan pertikaian mengenai apa yang berlaku semasa prosiding mahkamah terbuka dan memandangkan kedua-dua pihak telah memohon CRT yang sebelum ini ditolak, mahkamah berpendapat demi kepentingan keadilan, permohonan itu wajar dibenarkan walaupun sebelum ini kami tidak membenarkannya,” katanya.

Hakim Hashim turut menetapkan pengurusan kes berlangsung esok.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, peguam bela M.M. Athimulan berkata CRT diperlukan bagi memastikan sama ada panel terdahulu Mahkamah Persekutuan telah memberi peluang kepada pihak pembelaan mengemukakan hujahan mengenai merit pembelaan dan mitigasi selepas Mohd Isa didapati bersalah.

Athimulan bagaimanapun berkata mahkamah sebelum ini menolak permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan CRT dan beliau bercadang memfailkan afidavit bagi menyangkal dakwaan pihak pendakwaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berhujah bahawa perkara itu telah dijelaskan dalam hujahan bertulis dan tiada keperluan untuk memfailkan afidavit.

Bagaimanapun, Hakim Hashim berkata sekiranya mahkamah membenarkan CRT dibekalkan kepada kedua-dua pihak, maka isu pemfailan afidavit tidak lagi timbul yang dipersetujui Athimulan.

Mohd Isa, 76, kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya serta mengembalikan sabitan, hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, selain tambahan penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskan beliau daripada semua sembilan pertuduhan rasuah itu.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan semakan terhadap hukuman berkenaan pada 4 Mac lepas di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Peguam Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Wan Azmir Wan Majid, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat dan Baharudden Mohamed Ariff turut mewakili Mohd Isa dalam prosiding hari ini. Afzainizam dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen