malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Abdul Halim mula tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM
ADS

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu Datuk Seri Abdul Halim Aman memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan selepas 42 tahun berkhidmat dalam SPRM, semalam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Abdul Halim atas pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa pada hari ini.

“Insya-Allah, saya percaya dengan kredibiliti dan pengalaman beliau dalam jalur perundangan akan terus memberikan nilai tambah, memperkukuh peranan serta mengangkat kedudukan SPRM sebagai badan penguat kuasa yang berprestij di dalam dan luar negara. Selamat berkhidmat!” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Shamsul Azri turut berkongsi gambar penyerahan watikah pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu.

Sementara itu, Shamsul Azri juga merakamkan penghargaan kepada Azam dan menyifatkan banyak kejayaan dan reformasi yang telah dilaksanakan dalam menerajui SPRM sebagai sebuah badan penguat kuasa yang unggul.

“Jasa bakti Tan Sri (Azam) akan sentiasa dikenang dan semoga terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti selepas ini,” katanya.

Pada 25 April lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan Abdul Halim yang juga bekas Hakim Mahkamah Tinggi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, berkuat kuasa pada 13 Mei.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen