Dikemas kini dengan olahan semula berita.
Ahli perniagaan Albert Tei membuat laporan polis mendakwa bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengugut dan cuba menghalangnya daripada mendedahkan skandal rasuah Sabah pada November 2024.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Presint 7 Putrajaya pagi ini, sehari selepas Azam menamatkan perkhidmatan enam tahunnya yang penuh kontroversi.
Tei mendakwa dia mempunyai bukti dokumentasi lengkap, merangkumi senarai individu yang mempunyai pengetahuan terus mengenai kejadian itu, rekod perbualan melalui WhatsApp dan platform komunikasi lain dengan pihak-pihak berkaitan.
Tei mendakwa insiden itu berlaku pada 10 November 2024 ketika dia sedang dalam proses mendedahkan skandal rasuah yang melibatkan 15 orang ahli politik berpangkat tinggi di Sabah.
"Sebab utama saya tidak melaporkan perkara ini kepada pihak polis atau pihak berkuasa lain pada waktu tersebut adalah kerana saya bimbang akan tindak balas daripada Azam.
"Pada ketika itu, dia memegang jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang mempunyai pengaruh serta kuasa besar untuk menindas saya.

“Kini, selepas 18 bulan berlalu sejak awal November 2024, saya tampil secara terbuka untuk mengesahkan perkara ini demi keadilan dan ketelusan," tambahnya.
Tei sendiri dituduh memberi rasuah susulan pendedahannya itu. Dia mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Malaysiakini telah menghubungi balai pengesahan, SPRM dan Azam untuk mendapatkan komen.
Tak jadi lapor pada SPRM
Sementara itu, Tei turut hadir ke ibu pejabat SPRM bersama dua peguam di Putrajaya bagi membuat laporan sama.
Bagaimanapun tidak meneruskan hasrat itu selepas mendakwa hanya seorang peguamnya dibenarkan mengiringinya.
"Saya diberitahu bahawa pegawai penyiasat adalah seorang perempuan. Maka, saya membawa seorang peguam perempuan bersama saya sebab ia selesa untuk saya untuk membuat laporan kepada seorang pegawai perempuan jika ada peguam perempuan bersama saya.

"Jadi, kami minta saya bersama peguam saya (Mahajoth Singh) dan seorang peguam perempuan untuk dibenarkan masuk. Namun, pegawai SPRM menghalang kami. Mereka kata hanya dua orang sahaja dibenarkan.
"Ini tak masuk akal. Apa salah kalau nak bawa dua peguam bersama. Adakah ia melanggar SOP? Bila kami tanya, pegawai itu kata ia adalah arahan daripada atas," kata Tei kepada pemberita hari ini.
Baca: SPRM nafi halang mana-mana pihak buat aduan
Sementara itu, Mahajoth memberitahu pihaknya tidak membuat laporan hari ini kerana menunggu surat hitam putih daripada SPRM berkaitan larangan diiring dua peguam.
“Adakah ini SOP atau arahan daripada atas," katanya.


