Selepas kritikan bertalu-talu Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memohon maaf susulan kontroversi ceramahnya yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
“Merujuk kepada kontroversi berkaitan pengucapan saya baru-baru ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada saya.
“Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kenyataan itu dikongsi di Facebook Dewan Ulama PAS Pusat.
Terdahulu, tular petikan ucapan bekas ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu yang menyentuh kehidupan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam dalam ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Dalam ucapan berkenaan, Abu Bakar digambarkan sebagai “bapa ceti” kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin manakala Umar pula didakwanya berperangai ganas dan suka berzina.
Kenyataan tersebut mengundang kritikan termasuk daripada pemimpin PAS sendiri, antaranya Pemuda PAS Selangor yang menggesa Nik Zawawi supaya bertaubat.
Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar yang membuat teguran umum menerusi kenyataan di Facebook menegaskan kedudukan para sahabat Rasulullah bukan seperti manusia biasa dalam sejarah Islam.
Nik Zawawi dalam video penjelasannya semalam bagaimanapun mempertahankan ucapannya dan menegaskan dia tidak menghina para sahabat Nabi.
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu juga berkata kenyataan berkenaan dibuat sebagai perbandingan bagi membantu orang ramai memahami perbezaan antara zaman jahiliah dan era hidayah Islam.
"Sahabat-sahabat semua berlaku adillah dalam perkara ini, saya nak sebut bahawa bila kita tengok sesuatu kita tengok dengan positif,” katanya.
Dia turut ditegur oleh Dewan Ulama PAS Pusat dan pendakwah bebas susulan kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan terbarunya, Nik Zawawi berkata dia sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT.
“Tujuan asal kenyataan saya hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahupun kepimpinannya.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan,” katanya lagi.
Sementara itu dalam satu rakaman video berasingan, Nik Zawawi berkata dia menarik balik perkataan 'bapa ceti' dan 'kaki zina' yang ditujukan kepada kedua-dua khalifah ar-rasyidin itu.
"Saya sendiri tidak berniat menghina para sahabat, cuma kesilapan di sebelah saya apabila guna perkataan yang agak besar macam 'bapa ceti', dan 'kaki zina'.
"Jadi saya tarik balik penggunaan perkataan ini dan saya mohon maaf kepada sesiapa yang terasa hati dan saya ucap ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang memberi teguran yang membina, dan kepada yang menegur secara melulu itu lain kali jangan melulu.
"Kerana benda yang berlaku di zaman jahiliyah ini sememangnya tidak ada riwayat, dan kalau ada riwayat pun ia mesti dhaif, itu zaman jahiliyah, cuma tersilap apabila saya sandarkan kepada Sayidina Abu Bakar, Saidina Umar ," katanya dalam video dikongsikan di Facebook Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

