Parti Putra membidas tindakan kerajaan negeri Selangor yang bercadang menyumbangkan makanan dan minuman kepada peserta Himpunan Daulat Tuanku di Shah Alam pada 16 Mei ini, dengan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terbuka terhadap maruah rakyat.
Presiden Putra Ibrahim Ali berkata, tindakan itu seolah-olah menggambarkan peserta yang hadir bagi mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu boleh dilembutkan kemarahan mereka dengan hanya pemberian makanan.

"Ia memberi gambaran seolah-olah peserta himpunan datang kerana perut, bukan kerana prinsip. Seolah-olah suara rakyat boleh dibeli dengan makanan.
"Inilah mentaliti paling rendah dalam politik, apabila kerajaan melihat rakyat bukan sebagai pemilik negeri, tetapi sebagai kelompok yang boleh dihina dan direndahkan dengan makanan percuma," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Ibrahim juga mempersoalkan tahap pemikiran kepimpinan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang dianggapnya gagal memahami realiti keresahan rakyat di peringkat akar umbi.
Tegasnya, bahawa budi sebenar kepada rakyat adalah dengan menjaga hati mereka melalui usaha mempertahankan kedaulatan raja seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
"Kalau benar kerajaan Selangor ada maruah dan faham maksud Daulat Tuanku, menteri besar sepatutnya berdiri bersama rakyat di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

"Bukan duduk selesa di pejabat atau di rumah kediaman, sambil menghantar makanan, seolah-olah himpunan ini sekadar acara santai yang boleh dikawal dengan jamuan," katanya lagi.
Putra turut memberi amaran bahawa tindakan merendahkan himpunan tersebut boleh mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat yang lebih besar pada masa akan datang.
Semalam, exco Selangor Najawan Halimi berkata kerajaan negeri menyambut baik demonstrasi Pemuda PAS di Shah Alam, Sabtu ini.
Malah katanya, kerajaan negeri akan meminta polis memudah cara perhimpunan itu serta menyediakan makan minum.
“Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor dan memohon pihak polis memudahcara himpunan ini agar berjalan dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Saya turut dimaklumkan oleh setiausaha politik menteri besar Selangor saudara Saifuddin Shafi Muhammad, pihak Pejabat Menteri Besar akan menyediakan makanan dan minuman kepada mereka yang hadir,” katanya
Himpunan Daulat Tuanku dijadualkan berlangsung pada 16 Mei 2026 di hadapan Pejabat SUK Selangor sebagai reaksi terhadap isu kedaulatan raja dan negeri.
Bertemakan baju kuning, perhimpunan itu dijadualkan pada jam lima petang. Ia dianjurkan bagi membantah pendirian pemimpin DAP mempertimbangkan penggunaan sistem penternakan babi moden serta tidak membeza-bezakan penternakan haiwan itu dengan binatang lain.
Istana bagaimanapun mahu Selangor beralih daripada penternakan kepada bekalan import sepenuhnya.

