Perikatan Nasional (PN) hari iini mengingatkan semua pimpinan dan ahli parti-parti komponennya supaya tidak membuat sebarang kritikan yang tidak wajar secara semberono kepada mana-mana parti sekutu sama ada melalui media mahupun sebarang saluran lain.
Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan berkata, sebarang ketidakpuasan hati haruslah disalurkan kepada saluran parti masing-masing yang kemudiannya akan dibawa, dibincangkan dan diputuskan secara musyawarah di dalam PN.

“PN menerusi kepimpinannya kini akan menumpukan segala usaha dan tenaga kepada isu yang lebih besar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat.
“Segala masalah dalaman parti pastinya akan diurus dan dikendalikan secara dalaman dengan lebih berkesan, bijaksana dan positif lagi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu bagaimanapun tidak menyatakan dengan khusus punca kenyataannya itu dibangkitkan.
Namun semalam Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi menyifatkan Bersatu sudah hilang arah dan melihat parti tersebut sebagai "tiada roh."

Malah Adun Sura di Terengganu itu melihat tindakan Bersatu mengambil tindakan ke atas ramai wakil rakyat mereka sebagai proses 'sembelih.'
“Disembelih satu-satu pemimpin untuk terus berkuasa.
"Parti yang namanya Bersatu sekarang hanya tinggal parti yang sudah tiada roh,” katanya dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik di media sosial.
Justeru, Tengku Muhammad Fakhruddin turut mencadangkan langkah yang dirasakan wajar buat Bersatu.
“Kalau dah macam ni molek Bersatu keluar je dari PN. Hadirnya seperti bayang senja, hilang tanpa kesan, lenyap tanpa bekas,” katanya lagi.
Kenyataan itu dimuat naik selepas Lembaga Disiplin Bersatu sekali lagi mengambil tindakan ke atas beberapa tokoh parti itu. Ia adalah kesinambungan kepada langkah sama yang diambil Bersatu pada minggu lalu.
Antara yang sudah dikenakan tindakan gantung keahlian ialah Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor, Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) serta Muhammad Ishauddin (Mersing).
Selain itu, turut digantung ialah Adun Kuala Sepetang, Ahmad Man, Adun Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain serta Adun Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar.
Jumaat lalu Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat atau menggantung beberapa lagi pemimpin termasuk Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani; Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Ketua Bersatu Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmad; serta AdunKok Lanas, Mohamaed Farid Mohamed Zawawi.
Tindakan berterusan itu dilihat terus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pimpinan parti dan pemerhati politik yang mengikuti perkembangan dalaman Bersatu.

