Syarikat-syarikat penerbangan di Asia dilapor menaikkan tambang susulan peningkatan harga bahan api jet lebih dua kali ganda susulan konflik Timur Tengah.
Selain itu, beberapa syarikat penerbangan menggantung penerbangan ke lokasi tertentu dan lebih banyak dijangka mengikuti langkah itu.
Kenaikan antara 10 ke 34 peratus, lapor media Singapura Channel News Asia.
Kesan konflik terhadap syarikat penerbangan dan lapangan terbang di rantau ini mungkin teruk, kata Mayur Patel, pemimpin serantau bagi hal ehwal komersial dan industri untuk Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika di firma perundingan penerbangan OAG Aviation.
Selat Hormuz, yang terjejas teruk akibat perang Iran dan Amerika Syarikat (AS), membawa kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak dunia, yang 84 peratus ditujukan ke pasaran Asia.
"Asia memperoleh sebahagian besar keperluan minyaknya dari Timur Tengah dan telah terjejas lebih daripada rantau lain akibat penutupan efektif selat itu," kata Patel.
Bahan api penerbangan naik hampir dua kali ganda, daripada antara AS$85 dan AS$90 setong bulan lalu kepada antara AS$150 dan AS$200 setong, menurut Patel.
Sebelum konflik Timur Tengah meletus pada 28 Februari, minyak mentah berharga kira-kira AS$67 setong. Ia meningkat melebihi AS$100 setong awal bulan ini sebelum menyederhana.
Sehingga 25 Mac, beberapa syarikat penerbangan di pelbagai negara juga dilapor telah menaikkan tambang dan menyemak semula unjuran kewangan, memandangkan lonjakan harga bahan api jet.
Patel berkata tindakan mengalihkan kos kepada pengguna adalah tidak dapat dielakkan, kata penganalisis penerbangan.
"Syarikat penerbangan mungkin terpaksa menaikkan harga tiket sebanyak antara lima dan 10 peratus, atau lebih, jika pengusaha gagal mengoptimumkan kos operasi dan strategi pengurusan bahan api," kata Patel.
Presiden AS Donald Trump menyifatkan rundingan damai berjalan "sangat baik" – meskipun pegawai Iran menyifatkan cadangan AS "berat sebelah dan tidak adil".
Perang di Timur Tengah masuk hari ke-28 hari ini dengan AS menangguhkan serangan yang dirancang terhadap infrastruktur tenaga Iran selama 10 hari.
Konflik itu dilapor telah mengorbankan ribuan nyawa.

