Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi berhubung dakwaan melibatkan “permintaan dan pembayaran wang kepada seorang ahli politik,” baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, suruhanjaya itu memaklumkan setakat ini belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan dakwaan berkenaan manakala maklumat yang tular di media sebelum ini “masih belum dapat disahkan.”
“SPRM komited untuk meneliti setiap maklumat yang diterima dan sebarang tindakan hanya akan diambil berdasarkan bukti yang kukuh, selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya tanpa merujuk nama secara khusus.
Perkembangan itu menyusul selepas seorang ahli perniagaan, Victor Chin atau nama sebenarnya Chin Boon Loong, tampil dengan dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa didakwa melibatkan tekanan terhadap syarikatnya, NexG.

Menurut Chin, dia dan rakan niaganya berdepan ancaman serta intimidasi dalam usaha pihak tertentu untuk “merampas” pegangan saham syarikat penyedia penyelesaian IT berkenaan.
Dalam dokumen tersebut, Chin juga mendakwa dia kerap berhubung dengan seorang ahli parlimen PKR dikenali sebagai Mr R bagi menangani tekanan yang dihadapi syarikat itu.
Menyentuh isu kewangan, Chin menjelaskan pembayaran RM9.5 juta – daripada jumlah RM10 juta yang diminta – adalah “yuran perkhidmatan” dan bukan bertujuan menyelesaikan kemelut syarikatnya dengan agensi penguat kuasa.
Dia turut mendakwa kumpulan terbabit menyasarkan ahli keluarga, rakan perniagaan serta individu lain yang mempunyai kaitan dengannya.
Chin sebelum ini memberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk wang tersebut dipulangkan, atau identiti ahli politik yang didakwa terlibat akan didedahkan.
Sehubungan itu, SPRM sekali lagi menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat sahih supaya tampil membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan berasaskan fakta.

