Proses bedah siasat jenazah pasangan suami isteri yang disyaki dibunuh dalam kejadian di Kampung Belau, Merbok dekat Sungai Petani, dilaporkan selesai semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kedua-dua jenazah itu bagaimanapun, masih belum diserahkan kepada keluarga dan ditempatkan di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
"Jenazah pasangan suami isteri masih di hospital, bedah siasat telah selesai semalam, tetapi belum diserahkan kepada keluarga untuk proses pengecaman DNA (asid deoksiribonukleik) dan cap jari," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata jenazah suspek yang juga anak kepada mangsa wanita, sudah selesai melalui proses bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya dan selamat dikebumikan semalam, di tanah perkuburan berhampiran Masjid Al Atiq, Merbok selepas solat asar.
Media semalam melaporkan mayat tiga sekeluarga ditemukan di dalam sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok dan mangsa dikenali sebagai pasangan suami isteri, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, serta anak lelaki kepada Suraya yang merupakan suspek.
Mayat suami isteri terbabit ditemukan di bahagian dapur, dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam, manakala jasad suspek yang masih baharu ditemukan di bahagian atas rumah dengan kesan kelar pada leher.
- Bernama

