Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Warisan Sabah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuntut penjelasan berhubung dakwaan kelewatan siasatan skandal perlombongan negeri.
Memorandum tersebut diserahkan secara serentak di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, bagi mendesak suruhanjaya itu mesti memberi penjelasan penuh mengenai kelewatan siasatan kes itu.
"Sehingga hari ini, apa yang membimbangkan kami adalah kesunyian yang berpanjangan daripada pihak SPRM mengenai perkembangan siasatan," kata Adun Kapayan Chin Tek Ming dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kenyataan itu dikeluarkan bagi pihak lapan Adun Warisan di negeri itu.

Pada 11 Februari, ahli perniagaan Albert Tei, yang mendedahkan skandal perlombongan itu, mempersoalkan status baki 13 ahli politik yang turut dikaitkannya dalam video skandal tersebut, selepas 15 bulan berlalu.
Tei, yang mendakwa merasuah ahli politik tersebut sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral, telah didakwa dua kali berhubung skandal berkenaan.
Beberapa ahli politik yang dinamakan dalam video tersebut sebelum ini menafikan sebarang salah laku, dengan menyatakan rakaman itu telah disunting atau diambil di luar konteks.
Ada juga yang menegaskan mereka tidak pernah menerima rasuah seperti didakwa dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh bagi membersihkan nama mereka.
Sementara itu, Chin berkata kali terakhir kenyataan rasmi dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki adalah pada November 2025, meskipun laporan awal mengaitkan sekurang-kurangnya 15 individu termasuk tokoh politik berprofil tinggi.
Menurut Chin, tindakan undang-undang setakat ini hanya melibatkan beberapa individu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keseragaman pendakwaan memandangkan bukti yang dikemukakan sebelum ini didakwa bersifat konsisten.
Dia turut melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan individu yang dikaitkan dengan skandal tersebut masih boleh dilantik ke jawatan awam susulan ketiadaan perkembangan siasatan.
"Ini tidak boleh diterima. Ini adalah satu penghinaan kepada prinsip integriti dan kepercayaan rakyat.
"Rakyat Sabah berhak mendapat jawapan. Sekiranya keadaan ini berterusan, persepsi terhadap pendakwaan terpilih akan terus menebal dan merosakkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan," tegasnya lagi.
Penyerahan memorandum di Sandakan diketuai oleh Adun Elopura Calvin Chong, manakala di Tawau diketuai oleh Adun Sri Tanjong Justin Wong.

