Kerajaan sanggup tidak mengambil langkah populis bagi mendepani krisis tenaga global, sebaliknya memilih pendekatan yang lebih bertanggungjawab dan berpandangan jauh bagi menjamin kestabilan ekonomi negara.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata langkah mengekalkan harga siling RON95 pada kadar RM1.99 seliter meskipun dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dunia membuktikan kerajaan memberi keutamaan kepada aspek perlindungan rakyat.
"Kerajaan tidak mengambil jalan populis yang mungkin memberi kelegaan sementara tetapi mengundang risiko jangka panjang.
"Sebaliknya, pendekatan yang diambil adalah bertanggungjawab, berhemat dan berpandangan jauh," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai penyelarasan subsidi bersasar sebanyak 200 liter sebulan, Mahfuz menjelaskan, angka tersebut adalah rasional dan berdasarkan data penggunaan sebenar.
"Model penyelarasan ini direka bagi memastikan hampir 90 peratus rakyat Malaysia tidak terjejas dengan perubahan tersebut.
"Penyelarasan subsidi secara bersasar memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan," tambahnya.
Semalam Anwar mengumumkan kuota Budi95 dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini susulan peperangan di Asia Barat.
Pada masa sama, harga jualan runcit RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.
Bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig, kata perdana menteri kuota bulanan mereka dikekalkan pada 800 liter sebulan dengan mengambil kira tanggungjawab pekerjaan dan urusan yang mereka harus lakukan.
Selain itu, perdana menteri juga memaklumkan Sabah dan Sarawak akan terus nikmati diesel subsidi pada RM2.15 seliter walaupun harga melambung naik.
Mahfuz berkata cadangan memperluaskan amalan kerja fleksibel – seperti bekerja dari rumah secara berperingkat – juga merupakan satu langkah progresif kepada negara.
"Inisiatif itu bukan sahaja mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup buat pekerja, malah meningkatkan kecekapan serta keseimbangan kehidupan-kerjaya (work-life balance) dalam sektor awam dan swasta.
"Hakikatnya, langkah-langkah ini bukan bertujuan untuk membebankan rakyat, tetapi untuk memastikan negara tidak terdedah kepada risiko yang lebih besar sekiranya krisis global terus berlarutan," katanya.

