Kerajaan dilaporkan sedang mempertimbang pengenalan satu sistem digital baru bagi pengurusan pekerja asing, yang menurut sumber industri bakal dikenali sebagai The Universal Recruitment Advance Platform (Turap).
Cadangan itu, kata sumber dilihat sebagai usaha untuk menambah baik ekosistem pengambilan tenaga kerja asing yang sering dikaitkan dengan isu kos tinggi dan kebajikan pekerja.
Namun, terdapat pemain industri yang menyoal jika sistem baru tersebut akan benar-benar membawa perubahan atau sekadar menambah satu lagi lapisan dalam landskap sedia ada yang sudah melibatkan beberapa sistem berbeza.
Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa) yang mewakili lebih 700 syarikat agensi pekerja swasta, menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan proses pengambilan secara menyeluruh sekiranya peranan agensi berlesen dikurangkan.

Naib Presiden Papa, Suresh Tan berkata proses pengambilan pekerja asing melibatkan pelbagai urusan kompleks seperti dokumentasi, pemeriksaan kesihatan, visa dan latihan.
“Siapa yang akan memikul risiko dan mendahulukan kos logistik ini?
“Jika pekerja didapati tidak sesuai atau melarikan diri, siapa yang akan bertanggungjawab membayar pampasan kepada majikan atau menguruskan penggantian pekerja,” katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas amalan antarabangsa, Suresh berpendapat terdapat salah tafsir terhadap peranan platform digital yang disyorkan oleh badan seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).

Menurutnya, syor berkenaan lebih menumpukan kepada pemantauan berbanding pengambilan pekerja secara terus.
Untuk rekod, prinsip antarabangsa ILO umumnya menggalakkan kos pengambilan tidak ditanggung pekerja bagi mengelakkan risiko hutang dan eksploitasi.
Dalam pada itu, Suresh turut merujuk kepada pengalaman lampau Malaysia menggunakan pendekatan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G), yang menurutnya menimbulkan pelbagai cabaran dalam pelaksanaan.
"Malaysia pernah cuba sistem G2G sejak tahun 2007 dalam penggajian pekerja asing. Dan nyata ia gagal kerana mengabaikan agensi berlesen di negara sumber boleh dianggap sebagai pemerdagangan manusia kerana undang-undang negara tersebut mewajibkan rakyat mereka dihantar melalui saluran sah.
Sistem digital dua hala
"Tanpa agensi, tiada akauntabiliti jika berlaku pencabulan kebajikan pekerja," dakwanya.
Suresh juga mencadangkan pembangunan sistem digital dua hala yang menghubungkan agensi berlesen yang sah antara Malaysia dan negara sumber.
"Sistem yang telus dan kompetitif adalah kunci utama untuk Malaysia mencapai status Tier 1 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP), bukannya dengan menambah birokrasi,” katanya.
Status Tier 2 diberikan kepada negara-negara yang pentadbirannya tidak sepenuhnya memenuhi standard minimum penghapusan pemerdagangan orang, tetapi melakukan upaya signifikan untuk memenuhinya.
Kebimbangan kos dan pelaksanaan
Sementara itu, dua sumber dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendakwa majikan mungkin boleh dikenakan kos sehingga AS$1,000 (sekitar RM4,000) apabila sistem baru yang didakwa itu dilaksanakan.
Jumlah itu antaranya bagi membayar tiket penerbangan untuk membawa masuk pekerja asing, tetapi belum mengambil kira kos-kos lain yang mungkin timbul seperti yuran proses.
"Ada dakwaan sistem ini boleh mengenakan yuran sehingga sebulan gaji pekerja sebagai caj perkhidmatan,” kata sumber Jim itu.

Persoalan turut dibangkitkan jika fungsi pengambilan terus boleh diperkasakan melalui sistem sedia ada tanpa memerlukan platform baru itu.
Namun, setakat ini masih tiada butiran rasmi mengenai struktur kos, termasuk sebarang kadar yuran yang diumumkan oleh pihak berkuasa.
Pada masa ini, pengurusan pekerja asing banyak bergantung kepada sistem Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) yang dikendalikan oleh Bestinet Sdn Bhd.
Walaupun, sistem ini dikendalikan oleh pihak swasta, setakat 31 Disember 2025, kerajaan membayar lebih RM381 juta kepada Bestinet untuk menguruskan 2.35 juta pas yang dikeluarkan melalui 11 modul utama, termasuklah eQuota, sistem bioperubatan (BMS) dan pengambilan pekerja (eRecruitment).

Kerajaan sedang membangunkan sistem National Integrated Immigration System (NIISe), sebuah sistem berskala besar yang bertujuan memperkukuh pengurusan imigresen termasuk penggunaan biometrik dan pengecaman wajah.
Pada masa sama, kerajaan juga membangunkan National Integrated Immigration System (NIISe) melalui Heitech Padu Berhad dengan kos kontrak sekitar RM1.01 bilion.
Sistem "mega" NIISe dikatakan ini direka untuk menggantikan sistem MyIMMs yang sudah berusia lebih 20 tahun dan sering mengalami gangguan teknikal dengan memfokuskan kepada penggunaan teknologi biometrik serta pengecaman wajah di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution sebelum ini berkata integrasi antara sistem berkaitan imigresen dirancang dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan konteks ini, cadangan sistem baru itu telah menimbulkan persoalan dalam kalangan pemain industri mengenai pertindihan fungsi serta keperluan pelaburan tambahan.
"Kita sudah ada dua sistem menelan kos berbilion. Kenapa nak satu lagi sistem? apa motif kerajaan?
"Kalau kerajaan nak juga temuduga atas talian untuk membanteras rasuah kenapa tak serap dalam sistem sedia ada," soal sumber Kesuma.
"Jika FWCMS memfokuskan kepada permit serta kuota dan NIISe kepada keselamatan sempadan serta pasport, Turap pula cuba menumpukan kepada konsep ‘sifar ejen’ melalui pengambilan terus dengan cadangan yuran yang dianggarkan mencecah AS$1,000 bagi setiap pekerja.

"Situasi ini mencetuskan persoalan besar dalam kalangan pemain industri tentang keperluan membangunkan sistem baru yang mungkin memakan belanja beratus juta lagi bagi pembangunan atau integrasi, sedangkan FWCMS sudah pun mempunyai modul eRecruitment yang sepatutnya boleh diperkasakan tanpa perlu mewujudkan entiti digital yang asing," tambah sumber itu lagi.
Sementara itu, beberapa ejen berlesen tempatan memberitahu Malaysiakini sebarang peningkatan kos pengambilan berpotensi memberi kesan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya jika tiada pilihan alternatif yang lebih kompetitif.
Mereka juga menyoal kesesuaian pelaksanaan sistem baru sekiranya ia mengehadkan fleksibiliti majikan dalam memilih saluran pengambilan pekerja.
"Walaupun yuran ini dikatakan merangkumi ‘semua kos’, jumlah itu masih tinggi jika dibandingkan dengan kos pengambilan rasmi sekarang.
Tiada pengesahan rasmi
"Sekiranya sistem ini diwajibkan, ia akan menutup pilihan majikan untuk menggunakan saluran lain yang lebih murah," kata ejen pekerjaan itu.
Mereka juga kesal dengan dakwaan bahawa pengendali sistem boleh mengenakan yuran "sebulan gaji" juga dianggap tidak masuk akal oleh sesetengah pihak.
"Jika gaji minimum adalah RM1,500, dan (jika) majikan perlu membayar RM4,400 (AS$1,000) campur RM1,500 (yuran proses), kos permulaan bagi seorang pekerja sudah mencecah hampir RM6,000 sebelum mengambil kira levi dan asuransi lain," kata ejen itu lagi.
Setakat ini, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung cadangan sistem yang didakwa itu, termasuk kos akhir atau garis masa pelaksanaan.
Malaysiakini telah cuba mendapatkan maklum balas daripada kementerian berkenaan namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

