Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan PN tiada formula yang boleh mendamaikan pertelagahan di antara kem Muhyiddin Yassin dengan Hamzah Zainudin.
Sebaliknya kata Wan Ahmad Fayhsal, PN perlu membuat pilihan sama ada mengkekalkan hubungan dengan Bersatu atau sebaliknya memilih untuk bekerjasama dengan Hamzah bersama parti barunya untuk mendepani PRU ke-16 nanti.
"Sebenarnya tak ada (formula), maknanya perpecahan dalaman Bersatu ini sudah tak boleh dibuat apa, sebabnya kalau kita lihat majoriti ahli parlimen bersama Datuk Seri Hamzah, malah yang bertindak menyokong beliau hanya digantung, sedangkan mereka mahu dipecat.
"Itu bermakna Tan Sri Muhyiddin sedang bermain politik dengan tak mahu melepaskan mereka yang menyokong Datuk Seri Hamzah dengan alasan kalau mungkin dilepaskan (pecat), mereka ini (kem Hamzah) akan bertambah kuat," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan di Machang, Selasa lalu.
Dia yang juga bekas Ketua Pemuda Bersatu mendakwa, selagi isu pertembungan kem di antara Muhyiddin dan Hamzah tidak diputuskan dengan baik, tempiasnya akan turut terkena pada PN.
Justeru, kata Wan Ahmad Fayhsal, PN akan berisiko terus berdepan dengan isu pergolakan dalaman.
"Sebab itu PN kena buat keputusan - parti Melayu mana yang patut menjadi rakan strategik PAS untuk berdepan PRU.
"Mudarat mana yang lebih kecil di antara Tan Sri Muhyiddin atau Datuk Seri Hamzah," katanya.
‘Muhyiddin enggan mengaku’
Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian semasa ditanya pandangannya terhadap pelantikan Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai nakhoda baru PN menggantikan Muhyiddin.
Awal tahun ini Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN ekoran kemelut berpanjangan dalaman PN yang kian panas apabila anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Shukri Ramli, diketepikan dari jawatan Menteri Besar Perlis.
Tempat Mohd Shukri digantikan oleh Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Bagaimanapun, di sebalik peletakan jawatan tersebut, Muhyiddin kekal sebagai Presiden Bersatu.
Kemelut dalaman Bersatu kemudian menjadi lebih serius apabila majoriti ahli parlimen parti itu menyatakan sokongan kepada Hamzah - yang ketika itu menjadi timbalan Muhyiddin.
Pertembungan dua kem berasingan dalam Bersatu itu akhirnya menyaksikan Hamzah dipecat serta-merta, diikuti dengan peletakan jawatan beberapa ahli politik kanan termasuk bekas menteri, Noh Omar, dan bekas ketua menteri, Abdul Rahim Thamby Chik.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman dilantik sebagai Pengerusi PN pada Feb lalu.
Susulan pelantikan tersebut dia menegaskan bahawa agenda pengukuhan muafakat politik perlu disegerakan bagi melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja yang mampu menjadikan PN sebagai nukleus harapan rakyat.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal - yang juga dipecat Bersatu - berkata pihaknya bersedia berdepan sebarang kemungkinan dalam perkara itu namun menegaskan agenda memperkuatkan PN tetap jadi keutamaan.
"Macam mana nak kuatkan PN? Sudah tentu dari segi peranan ahli parlimen penting, (iaitu) kami yang bersuara di parlimen dan di luar.
"Malah Bersatu sudah kehilangan kekuatan, (cuma) Muhyiddin yang tak mengaku sebab apa yang dia cuba buat (ketika ini) hanya menampal luka," katanya berkias.
Setuju sebulat suara
Wan Ahmad Fayhsal juga mendakwa peletakan jawatan ramai pemimpin akar umbi memberi kesan besar kepada Bersatu kerana mereka terdiri daripada "pejuang tegar" parti tersebut.
Kalaupun dibuat pelantikan penaja yang baru, dakwanya, ia tidak akan memulihkan keranaan kerana dia yakin ahli di peringkat bawah sedang bersedia menyertai parti baru yang akan diketuai Hamzah nanti.
"Pada saya Bersatu dah hilang kredibiliti dalam PN. Saya boleh kata pemimpin PAS sangat maklum dengan keadaan semasa melibatkan PN atau Muhyiddin.
"Jadi bagaimana PN nak mengharungi pilihan raya dalam keadaan ada sosok seperti Muhyiddin? Kami dah bersuara secara dalaman, dah tegur, tapi semuanya dipecat.
"Justeru bagi saya, kita dah sedia buat 'rumah baru' dan misi kami untuk membantu Ahmad Samsuri dan PAS untuk memenangi PRU ke16," katanya lagi.

Sementara itu Mohamed Fadzli ketika ditanya mengenai perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan PAS berhubung pelantikan Ahmad Samsuri menegaskan ia adalah perkara biasa.
Namun katanya dia yakin keputusan yang dibuat itu akhirnya akan dipatuhi oleh semua pihak.
"tu biasa (pandangan berbeza) yang penting keputusan sudah dibuat di peringkat pusat, kita ini perbeza pandangan ini perkara biasa tetapi apabila PAS Pusat buat keputusan semua patuh.
"Kita menerima baik yang dia adalah wakil PAS dalam PN, ini satu kelebihan yang ada pada PAS dan sekarang sudah sampai masanya kita memainkan peranan di peringkat negara, insya-Allah dan di peringkat parti setuju sebulat suara dengan pelantikan Dr Samsuri.
"Kita mengharapkan kehadiran beliau sebagai Pengerusi PN ada sesuatu yang baru untuk ditawarkan kepada masyarakat," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

