Pakar ekonomi menyifatkan cadangan kerajaan untuk mengurangkan kuota petrol RON95 bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan sebagai langkah wajar bagi menangani tekanan semasa di peringkat global.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata langkah itu perlu kerana harga semasa minyak jauh melepasi andaian dalam Belanjawan 2026.
Dalam perancangan subsidi sebelum ini, katanya, anggaran harga minyak ialah sekitar AS$60 hingga AS$65 setong, manakala harga semasa sudah melebihi AS$100 bagi setiap tong.
“Justeru, terdapat keperluan untuk menyemak semula perbelanjaan subsidi bahan api agar peruntukan untuk sektor lain pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan keselamatan tidak terjejas,” katanya kepada Malaysiakini.
Mohd Afzanizam berkata demikian semasa diminta mengulas keputusan kerajaan untuk mengurangkan kouta petrol RON95 bersubsidi ekoran krisis berpanjangan yang berlaku di Asia Barat.
Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah-langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara berhadapan dengan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Menurut Anwar langkah itu diambil dengan pendekatan yang tegas, terancang dan berpaksikan kepentingan rakyat serta ketahanan negara.
Antara lain, kadar kuota belian RON95 bersubsidi untuk warganegara Malaysia dikurangkan kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April ini.
Bagaimanapun kadar jualan runcit RON95 itu akan kekal pada harga RM1.99 seliter.
Sebaik sahaja had 200 liter itu habis digunakan, pengguna akan tertakluk kepada harga apungan yang ditentukan pasaran.
Hampir tak dapat elak
Mohd Afzanizam berkata pengurangan kuota itu dijangka tidak memberi kesan besar kepada majoriti rakyat memandangkan penggunaan petrol bulanan kebanyakan pengguna adalah di bawah paras 300 liter sebulan.
“Berdasarkan corak penggunaan bahan api petrol, peruntukan 300 liter sebulan adalah melebihi daripada purata penggunaan dikalangan rakyat Malaysia.
“Justeru, pengurangan tersebut seharusnya tidak melibatkan kebanyakan pengguna," katanya.
Dia turut mencadangkan agar kerajaan memperkemas sistem penyampaian bantuan dengan mewujudkan portal sehenti bagi memudahkan akses serta mempercepatkan proses permohonan.
Selain itu, katanya, pemantauan harga dan penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh bagi mengelakkan ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga secara berlebihan.
Dalam perkembangan sama, ahli ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Barjoyai Bardai, menyifatkan langkah tersebut sebagai hampir tidak dapat dielakkan dari sudut fiskal negara.
Dia berkata bil subsidi petrol dan diesel meningkat lebih empat kali ganda, daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion sebulan susulan kenaikan harga minyak dunia, sekali gus memberi tekanan besar kepada kewangan kerajaan.

“Jika harga minyak mentah kekal tinggi, subsidi boleh mencecah RM24 bilion setahun. Walaupun harga RON95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, kos sebenar jauh lebih tinggi dan jurang subsidi semakin melebar,” katanya.
Pada masa sama Barjoyai berpandangan cadangan kerajaan itu tidak akan memberi kesan ketara kepada pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia.
Berdasarkan data semasa, katanya, kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan atau secara purata hanya 83 liter bagi tempoh tersebut.
“Ini bermakna langkah tersebut hanya memberi kesan ketara kepada pengguna intensif seperti pemandu jarak jauh atau pekerja gig.
“Kesimpulannya, tindakan kerajaan ini adalah langkah fiskal yang munasabah untuk mengelakkan ledakan kos subsidi yang tidak mampan, sambil meminimumkan kesan ke atas majoriti rakyat,” katanya.
Penggunaan lebih cekap
Mengulas tempoh kerajaan boleh mengekalkan harga semasa, Barjoyai berkata, ruang fiskal negara adalah terhad dan mungkin hanya mampu bertahan dalam jangka pendek jika harga minyak kekal tinggi.
Dia juga memetik Anwar yang baru-baru ini menyatakan bahawa jika harga minyak dunia kekal tinggi, Malaysia boleh mengekalkan jualan RON95 pada harga sekarang sekitar dua bulan lagi.
“Kementerian Kewangan sendiri memberi amaran bahawa situasi harga minyak global kini sangat tidak stabil akibat perang Iran dan langkah forward looking diperlukan untuk mengurangkan tekanan fiskal.
“Implikasinya, Malaysia mungkin terpaksa mengetatkan lagi sasaran subsidi (berasaskan pendapatan atau model bersasar), atau melakukan pelarasan harga terkawal jika keadaan global berterusan lebih dari beberapa bulan,” katanya.
Dari sudut ekonomi pula, Barjoyai berkata, pengurangan kuota itu membantu mengurangkan tekanan fiskal dan risiko defisit, selain mengekang inflasi import melalui kestabilan kewangan negara.

Bagaimanapun, dia mengakui sektor pengangkutan dan logistik mungkin lebih terkesan apabila kos operasi meningkat, sekali gus berpotensi menyumbang kepada kenaikan harga barangan.
Dalam jangka panjang, katanya, langkah itu boleh menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih cekap serta mempercepatkan peralihan kepada sistem subsidi yang lebih bersasar dan mampan.
Kesimpulannya, menurut Barjoyai, subsidi petrol secara pukal seperti yang diamalkan sekarang tidak lagi mampan, khususnya dalam keadaan harga minyak global yang tidak stabil.
“Pendekatan yang lebih berkesan ialah beralih kepada mekanisme bersasar seperti pemberian subsidi dalam bentuk tunai atau kuota, bantuan berdasarkan keperluan perjalanan sebenar, pelaksanaan skim penstabilan harga, pelaburan dalam pengangkutan awam, serta peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) dan tenaga alternatif.
“Gabungan beberapa pendekatan ini sepatutnya lebih berkesan berbanding bergantung kepada satu kaedah sahaja, sekali gus membolehkan Malaysia mengurangkan beban subsidi tanpa menjejaskan kebajikan rakyat jika dilaksanakan secara tersusun dan bersasar,” tambahnya.
Kelmarin Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga runcit bagi petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi meningkat sebanyak 60 sen seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April, manakala diesel di Semenanjung Malaysia melonjak lagi 80 sen kepada RM5.52 seliter untuk tempoh sama.
Ini merupakan kenaikan drastik untuk tiga minggu berturut-turut.
MOF juga mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan kawalan ke atas pembelian diesel, terutamanya di Sabah, Sarawak dan Labuan, sebagai sebahagian daripada usaha mengekang ketirisan subsidi dan penyeludupan.

