Kakitangan awam akan dibolehkan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat dan tepilih, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ketika menyampaikan perutusan khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, hari ini, perdana menteri berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.
Untuk itu, katanya, kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal bagi penjawat awam BDR.
"Penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah.
"Saya percaya Insya-Allah, selain daripada sektor awam kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan seperti mana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama," katanya.
Anwar berkata, bagi pihak kerajaan, kerajaan akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan dan ketirisan, serta memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia ini kekal luar biasa.
“Setelah melihat kemurungan yang berlaku di dunia, kita lihat Malaysia masih mendapat tarikan dan menjadi pusat pelaburan yang sangat aktif, sepertimana yang telah diumumkan melalui beberapa langkah.
“Walaupun kemelut dan peperangan berlaku, masih ramai pelabur yang datang,” katanya.
Beberapa negara di Asia Tenggara, termasuk Myanmar, Thailand dan Indonesia, telah memperkenalkan dasar BDR untuk penjawat awam tahun ini bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan bahan api.
Selain itu, perdana menteri juga mengajak rakyat mendoakan agar Malaysia kekal aman, sambil menekankan bahawa semua rakyat, sama ada di sektor awam atau swasta, perlu bekerja gigih dan bersungguh-sungguh.
“Biar kita tingkatkan keupayaan ekonomi dalam setiap ujian dan cabaran daripada Allah Subhanahu wa ta’ala.
“Keadaan yang berlaku di dunia masih memberi kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita,” katanya.

