malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda Umno selar pihak 'perbodoh' rakyat isu kenaikan minyak
Diterbitkan:  Mar 26, 2026 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM
ADS

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh menyelar tindakan pihak pembangkang yang didakwa cuba "memperbodohkan" pemikiran rakyat dengan mempolitikkan isu kenaikan harga minyak di negara ini.

Akmal berkata, kenaikan harga bahan api itu bukan ditentukan secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan, sebaliknya merupakan impak langsung daripada kenaikan harga komoditi tersebut di pasaran dunia.

"Sejak dari dahulu lagi peningkatan harga minyak ini bukan disebabkan kerajaan sesuka hati menaikkan harga minyak, tetapi kebanyakan faktornya adalah akibat peningkatan harga minyak di pasaran dunia.

“Walaupun pembangkang ketika pemerintahan BN dahulu mengkritik dan menghina kerajaan akibat kenaikan harga minyak ketika itu, tetapi bagi kami isu kenaikan harga minyak ini adalah isu global yang perlu ditangani bersama.

“Pihak kerajaan mahupun pembangkang (perlu berkerjasama) untuk kebaikan rakyat dan bukan menunggang isu ini untuk memperbodohkan pemikiran rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung pula naik sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter.

Kenaikan itu susulan peningkatan harga minyak globalakibat perang di Iran.

Harga runcit petrol RON97 pula dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM5.15 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi turut dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM3.87 seliter.

Namun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) pula kekal pada paras RM1.99 seliter.

The Edge yang memetik sumber yang tidak dinamakan melaporkan kerajaan juga merancang untuk mengurangkan kelayakan bulanan standard bagi petrol RON95 bersubsidi di bawah program Budi95, selepas harga bahan api tanpa subsidi melonjak lagi susulan perang di Iran yang berterusan.

Menurut sumber itu, bahawa kuota 300 liter sekarang akan dikurangkan kepada 200 liter sebulan, dengan pengumuman kemungkinan dibuat seawal minggu ini.

Kuota baharu bagi bahan api bersubsidi itu, yang berharga RM1.99 seliter, dijangka berkuat kuasa bermula April.

Katanya, sebaik sahaja had 200 liter itu digunakan, pengguna akan tertakluk kepada harga apungan yang ditentukan pasaran.

Mengulas lanjut, Akmal turut menegaskan bahawa semua pihak, termasuk kerajaan dan pembangkang, seharusnya menggembleng tenaga demi kebaikan rakyat dan bukannya "menunggang" isu berkenaan untuk kepentingan politik.

Anjur Rimbun 2.0 cari solusi

Susulan itu, Akmal memaklumkan Pergerakan Pemuda Umno akan menganjurkan Rundingan Meja Bulat Nasional 2.0 (Rimbun 2.0) dalam tempoh terdekat.

Katanya, rundingan itu akan menghimpunkan pakar ekonomi, profesional sektor minyak dan gas, serta pemain industri untuk membincangkan cadangan konkrit bagi membantu rakyat mendepani kesan kenaikan harga tersebut.

"Untuk kita duduk bersama dan kita bincangkan cadangan yang boleh diangkat kepada pihak kerajaan untuk kebaikan rakyat Malaysia.

"Saya juga menjemput semua pihak untuk hadir termasuklah dari parti kerajaan mahupun pembangkang untuk kita dengar dan bincang bersama dengan hati dan pemikiran yang terbuka," jelasnya.

Tambah Akmal, waktu ini merupakan saat untuk pemimpin mencari keputusan terbaik dan bukannya berterusan bertelagah.

"Ini bukan masa untuk pemimpin bergaduh, ini masa untuk kita buat satu keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Kami tidak janji kosong, tapi kami bawakan solusi yang terbaik untuk kita semua," katanya.

Isu penyelarasan subsidi bahan api terus menjadi topik hangat di dalam negara, terutamanya selepas kerajaan memulakan langkah penyasaran subsidi bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan di sebalik ketidaktentuan harga pasaran global.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen