malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM siasat rangkaian pusat urut terkemuka
Diterbitkan:  Jan 29, 2026 8:26 AM
Dikemaskini: 12:26 AM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah rangkaian pusat urut terkemuka kerana dipercayai terbabit dalam kes rasuah melibatkan penguat kuasa.

Menerusi hantaran SPRM di TikTok, bahagian operasi khas agensi itu semalam melaksanakan siasatan menerusi operasi bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap rangkaian pusat urut yang mempunyai 32 cawangan di seluruh negara dan dipercayai beroperasi sejak 2023.

Katanya siasatan awal mendapati syarikat terbabit disyaki mengamalkan sistem perakaunan dua lapis apabila sebahagian besar jualan tunai tidak dilaporkan, sekali gus menyebabkan anggaran kebocoran cukai sekitar RM7.56 juta setahun.

“Selain itu, siasatan turut mendapati berlaku pembayaran rasuah kepada pegawai penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan bagi melancarkan operasi syarikat serta sebagai wang perlindungan.

“Beberapa individu telah dikenal pasti dan tindakan susulan sedang diambil,” menurut hantaran itu.

Sebagai sebahagian daripada tindakan siasatan, SPRM membekukan 121 akaun bank melibatkan akaun persendirian dan akaun syarikat berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM11.5 juta.

Setakat ini, kata SPRM, 12 rakaman percakapan saksi telah dibuat bagi membantu siasatan lanjut.

Siasatan turut melibatkan pembekuan aset di Lembah Klang dan Johor yang disyaki diperoleh hasil aktiviti pengubahan wang haram. Antara aset yang dibekukan itu, kata SPRM, termasuk lima kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta.

Turut dibekukan ialah lima premis komersial bernilai sekitar RM7.3 juta, dua hartanah perindustrian bernilai lebih kurang RM2.3 juta serta tujuh unit kediaman dengan nilai anggaran RM7.7 juta.

Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam terhadap lima individu terdiri daripada pengarah syarikat dan pengurusan kanan beberapa entiti perniagaan berusia lingkungan 30 hingga 50-an.

Empat suspek direman empat hari sehingga Sabtu ini, manakala seorang lagi selama tiga hari (sehingga Jumaat ini).

Kata SPRM, semua mereka itu ditahan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan operasi berkenaan sedang dijalankan.

Katanya siasatan memberi fokus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. Pada masa sama, katanya, SPRM turut meneliti elemen kesalahan jenayah lain termasuk aktiviti pengubahan wang haram.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen