Sebagai sebuah parti gabungan yang menjadi harapan rakyat, kata Tuan Ibrahim Tuan Man, memang banyak pihak cemburu terhadap keberadaan PN.
Perasaan iri itu, pada pandangan Timbalan Presiden PAS berkenaan, lebih ketara pada PH dan BN.
Justeru, tambahnya, pihak dalam PN wajar tidak membuka ruang untuk pihak musuh menggugat perpaduan yang terbina dalam parti tersebut, manakala perbezaan pandangan mesti diurus dengan matang agar muafakat sedia ada kekal utuh.
“Kita mesti kembali memperkukuh muafakat bersama, mengeratkan jalinan, dan memperkemas kerjasama.
“Rakyat masih menaruh harapan kepada kita. Justeru, kita perlu bermuhasabah, membaiki kelemahan dan kekurangan jika benar-benar mahu PN terus diberi kepercayaan dalam PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tuan Ibrahim yang juga anggota Majlis Tertinggi PN menambah, sebarang kenyataan yang mengguris perasaan rakan muafakat mesti dihentikan, dan pada masa sama elak perbuatan menikam belakang kawan sendiri.
Turut ditekankan oleh Tuan Ibrahim ialah peri pentingnya menghormati keputusan parti-parti rakan, serta sedia menerima teguran serta pandangan lain dengan dada yang lapang.
“Ada pihak yang tulisannya baik dan membantu memperkukuh jemaah, itu penting bagi menjelaskan kekeliruan serta mendukung keputusan parti.
“Namun, ada juga pihak yang lebih baik berhenti menulis jika ia hanya berterusan mengelirukan ahli.
“Maka, tepuk dada tanya selera: di manakah posisi yang wajar kita ambil demi muafakat ini?” katanya lagi.
Kenyataan itu dibuat ketika hubungan PAS dan Bersatu masih belum kembali akrab seperti sebelum ini dengan isu jawatan Pengerusi PN kekal menjadi tanda tanya.
Perkembangan itu menyaksikan kedua-dua pihak menggunakan pelbagai wadah – termasuk media sosial – untuk melontarkan pandangan masing-masing sama ada secara terus terang atau menyindir dan berkias.
Pada masa sama hubungan antara ahli dalaman parti juga kekal bergolak.
Selain Bersatu yang kini dilihat terbahagi kepada kumpulan Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin, PAS pula menyaksikan segelintir tokoh membangkitkan kemungkinan wujud puak tertentu yang cuba mengubah haluan parti.
Kedua-dua pihak itu banyak menggunakan media sosial untuk meluahkan pandangan masing-masing termasuk menggunakan pendekatan yang keras.
Menurut Tuan Ibrahim, dalam muafakat politik tidak semua yang diingini akan diperolehi, dan tidak semua yang tidak diperlukan dapat ditolak.
Namun, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, apa yang penting ialah sikap saling menghormati serta berpegang teguh kepada asas persefahaman gabungan.
“Ketika ini, ada pihak yang bertepuk tangan melihat PN bertelagah sesama sendiri. Mereka mengharapkan muafakat ini berakhir.
“Dalam keadaan begini, tidak mustahil musuh menyelinap masuk untuk menimbulkan keraguan dan pertikaian, sehingga muafakat semakin melemah,” katanya.

