Langkah mewajibkan penguasaan Sejarah Malaysia merentas semua aliran pendidikan adalah inisiatif strategik untuk memperkukuh jati diri, kefahaman kenegaraan dan perpaduan masyarakat, menurut Majlis Sejarawan Negara (MSjN).
Menurut kenyataan MSjN hari ini, pendekatan yang diumumkan semasa Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 baru-baru ini penting bagi memastikan setiap generasi memahami sejarah dan nilai bersama yang membentuk negara bangsa.
“Langkah memperkenalkan penilaian Sejarah secara lebih sistematik termasuk pada peringkat awal persekolahan pula menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh literasi sejarah sejak usia muda.
“Di peringkat pendidikan tinggi, pengenalan mata pelajaran umum berkaitan sejarah dan perlembagaan negara memastikan semua graduan memiliki pengetahuan asas kenegaraan tanpa mengira bidang pengajian,” menurut kenyataan itu.
MSjN memaklumkan pihaknya yakin pengintegrasian pembelajaran sejarah dalam agenda reformasi pendidikan nasional yang seiring kemajuan teknologi dan digital, akan mewujudkan keseimbangan antara pembangunan dan keteguhan nilai kemanusiaan.
Sehubungan itu, MSjN menyokong sepenuhnya pelaksanaan dasar berkenaan demi kelangsungan pembinaan negara bangsa.
RPN 2026-2035 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jan lepas adalah pelan pendidikan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.
RPN 2026-2035 merupakan rancangan strategik transformasi pendidikan nasional merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi dan disusun secara bersepadu oleh Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pendidikan Tinggi, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh mutu pendidikan, merapatkan jurang akses serta memperkasa daya saing sistem pendidikan negara di peringkat global.
- Bernama

