malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BUKU | Menyingkap kegelapan kuasa, iman dan nafsu
ADS

Karya sastera seperti cerpen bukan sekadar hiburan tetapi medan eksperimen pemikiran dan moral. Maka tidak hairanlah dalam kumpulan cerpen Sebelas Amanat Swamiji (2025), Uthaya Sankar SB mempersembahkan 16 buah cereka yang sengaja mengusik zon selesa pembaca. 

Kesemua cerpen dalam buku ini bergerak di wilayah faksyen—gabungan fakta dan fiksyen—yang meniru dunia sebenar sehingga pembaca sukar membezakan antara rekaan dan realiti. 

Keunikan buku ini bukan hanya pada teknik penceritaan tetapi juga terletak pada keberanian pengarang menelanjangkan hubungan antara agama, kuasa, seks, politik, dan psikologi manusia secara kreatif tetapi menggugat.

Secara umum, keistimewaan buku ini terletak pada struktur penceritaan yang memanfaatkan narrative hook, misdirection, dan plot twist yang konsisten. Sejak cerpen pertama, “Rahasya Pulau Cinta”, pembaca sudah diheret ke dunia alegori politik dan moral. 

Maharaja Ravana berdepan isu skandal pemimpin bernama Rama yang bukan sahaja menyalahgunakan kuasa, malah penggemar “amalan luar tabii” yang mengancam kedaulatan negara. Perhatikan petikan ini: 

“Amalan luar tabii Rama bukan hanya rahsia hitam yang tersembunyi, tetapi kini ia mungkin menjadi senjata … untuk menghancurkan kedaulatan Pulau Cinta.” (Hlm. 1-2)

Gaya dan teknik penceritaan seperti ini berulang dalam hampir semua cerpen: realiti dibina perlahan-lahan, lalu dihancurkan oleh pengakhiran yang tergantung dan ironis.

Keunikan kedua ialah penggunaan mitos Hindu, istilah Sanskrit, dan simbolisme agama yang disesuaikan pula dengan konteks Malaysia kontemporari. Dalam “Raman dan Natyasastra”, misalnya, idea drama sebagai cerminan tindak-tanduk manusia menjadi asas kritikan sosial. 

Sementara dalam “Jalan Sehala Menuju Svarga”, metafora jalan yang kononnya lurus ke syurga menjadi sindiran terhadap ideologi keagamaan yang memaksa: “Svarga? Jalan sehala ini hanya menuju naraka.” (Hlm. 58)

Namun, kekuatan naratif dan gaya penulisan yang dimiliki oleh Uthaya juga boleh menjadi punca kontroversi. Banyak cerpen dalam buku ini berupaya menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat kerana pengarang berani menyentuh seks, pedofilia, dan penyalahgunaan autoriti agama. 

Uthaya perlu belajar menghormati sensitiviti orang Melayu dan orang Islam. Jangan terlalu leka menggunakan kreativiti dan lesen sastera untuk mengungkap atau menggali isu-isu yang boleh mengguris perasaan penduduk majoriti. Sesiapa yang sudah membaca buku ini pasti menyedari hal ini.

Sementara itu, dalam cerpen “Rahasya Pulau Cinta”, fetisisme Rama digambarkan secara langsung: “Rama lebih ghairah menghisap jari kaki … amalan luar tabii yang sukar ditinggalkan.” (Hlm. 6)

Kontroversi menjadi lebih tajam dalam cerpen berkaitan kultus seperti “Lingkaran Shaitaan”, “Utusan Acintya”, “Kultus Keamanan”, dan “Guruji di Amaravati”. 

Di sini, watak Swamiji atau Guruji dipaparkan sebagai pemimpin yang memanipulasi pengikut melalui ketakutan dan kejahilan. Dalam “Lingkaran Shaitaan”, jenayah seksual dilenyapkan melalui kuasa sosial. Malah, dikatakan “daya ingatan orang ramai hanya selama dua minggu.” (Hlm. 49)

Sementara dalam “Kultus Keamanan”, Swamiji iaitu seorang tokoh agama yang berpengaruh dan disegani menolak fakta sains dengan angkuh di Halaman 59: “Dinosaur … tidak pernah wujud.” Pembaca umum mungkin terasa tersindir, terutamanya mereka yang melihat agama sebagai wilayah suci yang tidak wajar disentuh secara kritikal.

Rasa marah juga boleh tercetus kerana Uthaya secara terang-terangan tidak memihak secara sentimental kepada mangsa. Dalam “Siapa Bunuh Mukundan?” misalnya, rasuah, ugutan, dan polis yang bersekongkol dengan samseng ditampilkan tanpa romantisisme.

Misalnya, dialog di Halaman 16: “Awak juga kena bayar sepuluh ribu ringgit … maruah awak juga kini dalam telefon bimbit saya.” Kejujuran pahit ini mampu mengganggu emosi pembaca kerana ia terlalu dekat dengan realiti di Malaysia.

Walaupun begitu, di sebalik segala ketidakselesaan itu, buku Sebelas Amanat Swamiji sebenarnya mengasah pemikiran kritis pembaca. Cerpen “Jalan Sehala Menuju Svarga” mempersoalkan sikap manusia yang mencari jalan paling mudah menuju kebenaran mutlak, lalu terperangkap dalam sistem yang mematikan kebebasan. 

Watak utama dalam cerpen itu akhirnya menyedari kesilapan diri: “Dalam keadaan terlalu ghairah mahu meninggalkan jalan kompleks … dia telah menerima undangan tanpa banyak berfikir.” (Hlm. 56)

Para pembaca yang prihatin pasti sedar bahawa ini bukan sekadar cerita, sebaliknya alegori terhadap ekstremisme dan fanatisme agama yang mungkin benar-benar berlaku dalam masyarakat.

Dalam cerpen “Cinta Surapit”, kisah Maya dan Arjuna yang memilih untuk mati bersama (bunuh diri) akibat ilusi dan pil membangkitkan persoalan cinta, manipulasi, dan psikologi generasi muda. 

Mereka digambarkan melihat realiti secara kabur: “Mungkin juga kesan ilusi daripada pil yang ditelan tadi.” Cerpen ini membuka ruang diskusi tentang bunuh diri, tekanan sosial, dan romantisisme tragedi dalam karya sastera.

Cerpen “Suri Hati Swamiji” dan “Sebelas Amanat Prashamsaneeji” pula memperlihatkan bagaimana ajaran boleh berubah menjadi doktrin apabila pengikut kultus berhenti berfikir. 

Di sini, agama tidak diserang, tetapi sikap manusia terhadap agama yang dikritik—iaitu kecenderungan menjadikan iman sebagai alat kuasa. Sekali lagi, Uthaya wajar lebih berhati-hati dalam pandangan liberal dan sekular yang dibawa. Idea yang diselit dalam cerpen boleh sahaja ditafsir sebagai mempersoalkan agama tertentu; sekali gus menggugat keamanan.

Apa-apa pun, kesemua 16 cerpen dalam koleksi ini saling melengkapi dalam membina panorama sosiopolitik yang gelap: pemimpin hipokrit, masyarakat pelupa, pengikut kultus, dan mangsa yang terperangkap dalam lingkaran syaitan.

Uthaya tidak memberi jawapan muktamad kepada segala isu yang ditimbulkan, sebaliknya meninggalkan pembaca di persimpangan moral. Teknik pengakhiran tergantung atau open ending memaksa pembaca bertanya: Apakah kita Rama, Sita, Swamiji, atau orang ramai yang hanya memiliki daya ingatan selama dua minggu?

Dalam dunia yang semakin mudah percaya kepada slogan agama, tokoh karismatik, dan jalan pintas ke “svarga” (syurga), buku ini mengingatkan kita bahawa pemikiran kritis ialah amanat sebenar dalam kehidupan manusia. Sepertimana sindiran paling tajam dalam sebuah cerpen “Jalan sehala ini hanya menuju naraka.”

Kesemua cerpen dalam buku ini tidak meminta pembaca bersetuju dengan idea pengarang, sebaliknya menuntut pembaca berfikir. Dan dalam dunia sastera kebangsaan yang sering selesa dengan tema selamat, keberanian inilah yang menjadikan Sebelas Amanat Swamiji bukan sekadar bahan bacaan ringan, tetapi pengalaman intelektual yang menggugat pemikiran.

Amanat Uthaya bukan tentang syurga atau neraka, tetapi tentang keberanian manusia untuk berfikir dan bertaakul sebelum tunduk kepada tekanan politik, sosial, agama, dan emosi. Namun, jangan pula pengarang terlalu ghairah menyentuh sensitiviti agama dan ritual sehingga mendatangkan risiko kepada diri sendiri.


MOHD ALIFF suka baca Malaysiakini dan buku yang mencabar minda.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen