malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Pendidikan percuma OKU di Ipta, setapak tetapi melangkah
ADS

Hampir 30 tahun lalu sewaktu mendaftar masuk ke Universiti Malaya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, penulis berpeluang bertemu kumpulan mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) yang berkampung di Kolej Za’ba.

Za’ba adalah ‘port’ OKU dikumpulkan kerana kedudukannya yang strategik serta kondisi bangunan yang agak mesra golongan ini.

Dari lantai kolej inilah, kami mahasiswa OKU berwacana dan nekad menubuhkan persatuan sendiri bagi memperjuangkan rakan-rakan senasib.

Masih terngiang antara isu yang sering dibincangkan berkenaan betapa kerajaan perlu memberi pendidikan percuma kepada mahasiswa OKU.

Perkara ini diangkat berikutan betapa susahnya rakan-rakan yang sudah bergraduasi mendapat pekerjaan, malah terbeban dengan hutang pinjaman pelajaran yang membebankan.

Melalui Persatuan Mahasiswa Istimewa Universiti Malaya (Permium), isu ini sering diacu kepada kepimpinan kerajaan ketika itu untuk dipertimbangkan.

Dan seperti biasa pandangan sebegini akan berakhir di meja rundingan dengan ungkapan “perkara ini akan dipanjangkan”. Pendek cerita isu ini tidak pernah menemui pintu keluar untuk dilaksana malah untuk dibincangkan. Titik.

Ironinya, pengumuman kerajaan Madani untuk mengecualikan yuran pengajian kepada penuntut OKU di institusi pengajian tinggi awam (Ipta), politeknik dan kolej komuniti mengimbau semula bahawa doa dan harapan 30 tahun lalu yang panjang dimakbulkan.

Bagi bekas mahasiswa OKU, ini merupakan satu langkah dasar yang wajar dipuji dan diraikan.

Langkah ini bukan sekadar keputusan fiskal, tetapi suatu pernyataan nilai bahawa negara mengiktiraf pendidikan sebagai hak, bukan keistimewaan, dan OKU sebagai warganegara penuh, bukan kelompok pinggiran.

Walaupun jumlah penerima sekitar 3,000 orang mungkin kelihatan kecil dalam statistik nasional, dari sudut sosiologi dan politik awam, keputusan ini membawa makna simbolik yang besar.

Ini menandakan peralihan daripada pendekatan kebajikan semata-mata kepada pendekatan keadilan sosial.

Dalam bahasa mudah, ini adalah satu langkah setapak tetapi setapak yang membuka laluan untuk melangkah lebih jauh, jika disusuli dengan dasar yang konsisten dan berstruktur.

Namun, untuk memastikan langkah ini benar-benar membawa perubahan bermakna, kita perlu melihat isu pendidikan OKU melalui lensa sosial dan menggariskan cadangan yang menyeluruh merentas tiga teras utama: politik, ekonomi dan sosial.

John Rawls, seorang ahli falsafah politik moden, menulis Theory of Justice (1971) sebagai respons kepada pendekatan utilitarian yang menilai keadilan berdasarkan “kebaikan terbesar untuk jumlah terbesar”.

John Rawls

Bagi Rawls, keadilan tidak boleh dikorbankan demi manfaat majoriti, sebaliknya mesti melindungi hak dan peluang golongan paling lemah dalam masyarakat.

Keadilan tidak bermaksud semua orang diberi layanan yang sama, tetapi mereka yang berada dalam kedudukan paling tidak bernasib baik perlu diberi kelebihan tambahan supaya wujud keadilan sebenar.

Dalam konteks ini, pengecualian yuran kepada OKU bukanlah “keistimewaan”, sebaliknya mekanisme pembetulan terhadap ketidaksamarataan struktur yang telah lama wujud.

Berdasarkan kepada proses pembelajaran yang dilalui, OKU berdepan kos tambahan yang tidak ditanggung oleh pelajar lain, kos daripada alat bantuan, rawatan kesihatan, pengangkutan khas, sehinggalah keperluan sokongan akademik.

Justeru, dasar pendidikan yang adil mestilah mengambil kira realiti ketidaksamaan ini.

Pendidikan percuma kepada OKU adalah manifestasi praktikal kepada prinsip keadilan distributif, bukan dasar populis.

Titik mula reformasi

Dari sudut politik, langkah ini perlu dilihat sebagai titik permulaan kepada reformasi dasar yang lebih mendalam.

Selari dengan model sosial ketidakupayaan (social model of disability), ketidakupayaan bukan berpunca daripada individu, tetapi daripada sistem dan struktur yang gagal menyesuaikan diri.

Maka, tanggungjawab kerajaan bukan sekadar “membantu OKU”, tetapi membina sistem pendidikan tinggi yang inklusif secara institusi.

Cadangan pertama ialah menggubal dasar nasional pendidikan tinggi inklusif yang mengikat semua Ipta, politeknik dan kolej komuniti.

Dasar ini perlu meliputi jaminan akses, standard kemudahan, sokongan pembelajaran, serta mekanisme aduan yang berkesan bagi pelajar OKU.

Kedua, meminjam slogan utama gerakan hak OKU di peringkat antarabangsa. Ia membawa maksud bahawa sebarang dasar, undang-undang atau keputusan yang memberi kesan kepada OKU, untuk itu sebarang dasar mesti dirangka dengan penglibatan langsung OKU sendiri, bukan diputuskan oleh pihak luar semata-mata.

Dalam maksud lain, OKU bukan objek kebajikan, tetapi subjek hak dan rakan pembuat dasar.

Prinsip “Tiada keputusan tentang kami tanpa suara kami” perlu dijadikan asas dalam penggubalan dasar pendidikan OKU.

Tanpa suara OKU sendiri, dasar yang digubal berisiko menjadi simbolik dan terpisah daripada realiti.

Ketiga, kerajaan boleh memperkenalkan indeks inklusiviti kampus sebagai sebahagian penilaian prestasi institusi.

Ini akan mengalihkan fokus daripada sekadar kemasukan pelajar kepada kejayaan sebenar, kadar kelangsungan pengajian, graduasi dan kebolehpasaran graduan OKU.

Dari sudut ekonomi, teori capability approach (pendekatan keupayaan) oleh Amartya Sen dan Martha Nussbaum sangat relevan.

Teori ini menekankan bahawa pembangunan sebenar bukan sekadar menyediakan sumber, tetapi memperluas keupayaan individu untuk menjalani kehidupan yang mereka nilai bermakna.

Dalam konteks OKU, pendidikan percuma hanyalah satu sumber. Tanpa peluang pekerjaan, sokongan peralihan dan ekosistem ekonomi yang inklusif, keupayaan tersebut tidak akan berkembang.

Oleh itu, dasar pendidikan OKU mesti disepadukan dengan dasar pasaran buruh.

Elok benar jika kerajaan Madani ini kembali menjengah polisi satu peratus peluang kerjaya di sektor awam sudah tertunai atau sekadar slogan muluk yang dijaja puluhan tahun. Sedangkan masih ada graduan kelas pertama tanpa kerjaya.

Aturan kerjaya graduan OKU ini dibentes dengan kerenah birokrasi dengan soalan-soalan yang tidak relevan dengan jawatan semasa proses temuduga jawatan.

Selain membereskan kerenah birokrasi era dinosaur ini, kerajaan Madani juga perlu melihat cadangan utama seperti menyediakan insentif cukai (lebih banyak), subsidi gaji atau geran latihan kepada majikan yang mengambil graduan OKU, khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti teknologi digital, data, ekonomi kreatif dan perkhidmatan profesional.

Ini bukan sahaja membantu OKU, tetapi memperluas asas bakat negara.

Wajah baru institusi pendidikan

Selain itu, universiti dan politeknik wajar membangunkan laluan keusahawanan OKU melalui inkubator khas, pembiayaan mikro dan bimbingan mentor.

Graduan OKU tidak harus dilihat hanya sebagai pencari kerja, tetapi juga pencipta nilai ekonomi.

Dalam jangka panjang, ini mengurangkan kebergantungan dan meningkatkan sumbangan fiskal.

Suka diingatkan kepada kerajaan bahawa kejayaan pendidikan bukan hanya ditentukan oleh modal ekonomi, tetapi juga modal sosial dan budaya.

Ramai pelajar OKU gagal bukan kerana kurang kebolehan intelektual, tetapi kerana kekurangan sokongan sosial, rangkaian dan penerimaan budaya.

Oleh itu, pembinaan kampus inklusif mesti melangkaui kemudahan fizikal.

Ia perlu merangkumi latihan pensyarah dalam pedagogi inklusif, bahan pengajaran pelbagai format, fleksibiliti penilaian akademik, serta perkhidmatan kaunseling yang sensitif kepada realiti OKU.

Dalam masa yang sama, kesedaran dalam kalangan pelajar bukan OKU perlu dipupuk secara sistematik.

Inklusiviti tidak boleh bergantung kepada empati individu semata-mata, tetapi mesti dibina sebagai norma sosial.

Program orientasi, kokurikulum dan kempen kesedaran perlu menormalisasikan kepelbagaian keupayaan sebagai sebahagian daripada kehidupan kampus.

Bersandarkan kepada pengalaman di kampus semua perkara ini masih jauh dari jangkauan tetapi pembaikan sedang berlaku. Diharapkan dengan inisiatif terkini kerajaan Madani dapat menjadikan mimpi-mimpi mahasiswa OKU ini realiti.

Kesimpulannya, pendidikan percuma kepada pelajar OKU adalah langkah yang betul, tepat pada masanya, dan dengan niat yang jelas.

Ia mencerminkan wajah sebuah negara yang sedang berusaha memahami makna kemajuan yang lebih berperikemanusiaan.

Namun, sejarah dasar awam menunjukkan bahawa niat baik sahaja tidak mencukupi tanpa kesinambungan dan keberanian reformasi.

Jika langkah setapak ini disusuli dengan pembaharuan politik yang menjamin hak, strategi ekonomi yang membina keupayaan, dan perubahan sosial yang membentuk budaya inklusif.

OKU bukan sahaja akan memasuki pendidikan tinggi tetapi mereka akan melangkah keluar sebagai warga yang berdaya, bermaruah dan menyumbang.

Akhirnya, cara sesebuah negara melayani OKU bukan ukuran belas kasihan, tetapi ukuran keadilan.

Dan pendidikan adalah medan paling jujur untuk menilai sejauh mana kita benar-benar melangkah ke hadapan. Jika dikupas teliti Madani ada jalannya.


 MOHD NAJIB HASHIM bekas ketua pengarang Suara Keadilan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen