malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jeffrey mengaku jumpa Tei, dakwa ada 'tangan tersebunyi' terlibat
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 8:39 PM
Dikemaskini: 12:39 PM
ADS

Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Jeffrey Kitingan, menyalahkan "tangan tersembunyi" yang bertujuan untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri sebagai punca timbulnya dakwaan mengaitkan dia dengan skandal rasuah lesen perlombongan.

Antara lain Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Staritu ) mempersoalkan masa pendedahan skandal itu dibuat serta motif di sebaliknya, sambil menafikan sebarang salah laku.

“Kami melihat ada tangan tersembunyi yang bergerak dan merancang semua ini di sebalik tabir,” katanya yang dipetik Malay Mail hari ini.

Pada masa sama Jeffrey mengakui dia ada bertemu dengan ahli perniagaan Albert Tei – yang juga pemberi maklumat dalam skandal itu – pada masa yang sama video yang membabitkan dirinya dirakam.

"Kami pernah berjumpa sebelum ini. Itulah cara kami mengenalinya – apabila dia berkeliling bertemu ahli perniagaan.

“Berdasarkan tarikh mesyuarat, saya rasa ia bertepatan dengan prasidang parlimen di Kuala Lumpur," katanya.

Semalam, Tei didakwa di mahkamah atas tuduhan merasuah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Andi Suryady Bandy dan Adun Sindumin Yusof Yacob untuk mendapatkan bantuan dengan lesen mencari galian.

Sehari sebelumnya, Jeffrey menafikan dakwaan dia menerima rasuah RM1.78 juta berhubung skandal itu.

Pada Sabtu lalu Malaysiakini melaporkan enam lagi ahli politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dari Star dan Parti Bersatu Sabah (PBS) terbabit dalam skandal rasuah yang telah menggoncang pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor.

Satu sumber memberi Malaysiakini tangkapan skrin yang didakwa diambil daripada rakaman video yang melibatkan enam pemimpin itu dengan dakwaan melibatkan jumlah RM3.96 juta.

Bercakap lebih lanjut mengenai perkara itu, Jeffrey menyatakan bahawa penularan video itu datang secara berperingkat-peringkat, dan mendakwa ia boleh menjadi satu bentuk hukuman "apabila kami tidak tunduk kepada mereka atau apa sahaja".

"Saya tidak tahu siapa yang mengambil rakaman itu, tetapi semuanya kelihatan sudah dirancang untuk menjatuhkan kami. Ia seperti satu perangkap," katanya.

Pihaknya juga memberitahu akan membuat laporan polis tidak lama lagi dan memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Selain itu, Kitingan berkata beliau tidak mendapat sebarang maklumat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak video terbaru dikeluarkan.

"Kami pergi ke pejabat SPRM dan sudah memberi penjelasan. Selepas itu, kami tidak pernah mendengar apa-apa daripada mereka.

“Justeru kami menganggap ia tiada kaitan dengan kami – sehinggalah tiba-tiba perkara ini terjadi. Kami terkejut," katanya.

[Baca berita lanjut]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen