Ketua portfolio pendidikan PN, Saifuddin Abdullah, membidas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai memperkecilkan kebimbangan mahasiswa terhadap peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif elektrik.
Dalam satu kenyataan, Saifuddin menegaskan bahawa isu pokok yang jauh lebih besar ialah kesan menyeluruh terhadap kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat termasuk mahasiswa.
"Kita perlu melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan rantaian (supply chain) kepada banyak sektor. Harga makanan dan barangan asas di kampus-kampus dijangka meningkat apabila kos operasi pembekal turut meningkat.
"Mahasiswa adalah antara golongan yang paling terkesan kerana mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada pinjaman atau bantuan.
Menurutnya, ramai mahasiswa kini tidak lagi menetap di kolej-kolej kediaman sebaliknya tinggal di luar kampus dan perlu menanggung kos sewa, pengangkutan dan utiliti secara langsung.
"Maka, implikasi kenaikan-kenaikan ini terhadap mereka amat nyata dan tidak wajar disangkal.
"Saya menyeru agar kerajaan mengambil serius bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat, khususnya mahasiswa, dan tidak memperlekehkan suara serta kebimbangan mereka," ujarnya.
Bernama semalam melaporkan Anwar berkata kerajaan mengamalkan ketelusan dan bersedia menerima sebarang kritikan terhadap sistem percukaian selagi ia berasaskan fakta.

Namun, Anwar menyatakan sukar memahami rungutan mahasiswa mengenai tarif elektrik kerana universiti awam dikecualikan daripada dasar baharu itu.
Bulan lalu, kerajaan mengumumkan semakan semula kadar cukai jualan secara bersasar serta peluasan skop cukai perkhidmatan, yang berkuat kuasa hari ini.
Kadar tarif elektrik baru oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga mula berkuat kuasa hari ini, dengan kadar asas meningkat daripada 39.95 sen/kWh kepada 45.4 sen/kWh.
Pelaksanaan mekanisme pelarasan bahan api automatik dijangka dapat menjimatkan sehingga RM10.80 bagi pengguna, bergantung pada penggunaan elektrik. Di samping itu, penjimatan turut dinikmati oleh pengguna yang menggunakan 1,000 kWh ke bawah melalui insentif kecekapan tenaga.
Bil elektrik mulai bulan ini juga akan memaparkan pecahan terperinci bagi setiap caj yang dikenakan.
Pada Disember lalu, TNB mengumumkan kenaikan tarif asas elektrik dengan alasan peningkatan kos bahan api sebagai punca utama.
Anwar sebelum ini memberi jaminan bahawa 85 peratus pengguna tidak akan terkesan dengan kenaikan tersebut, kerana ia hanya menyasarkan golongan warga asing dan “maha kaya”.
Namun, pengguna TNB masih meluahkan kebimbangan terhadap kesan sebenar langkah tersebut, terutama mereka yang menggunakan tenaga solar.