malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah gantung tugas PM Thailand
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 6:01 PM
Dikemaskini: 10:14 AM
ADS

GLOBAL l Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Selasa menggantung tugas Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra sementara menunggu pertimbangan kes beliau berhubung perbualan telefonnya dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang bocor.

Dalam satu kenyataan, mahkamah berkata ia menerima petisyen daripada 36 senator yang mendakwa Paetongtarn tidak jujur dan melanggar piawaian etika, sekali gus melanggar perlembagaan.

Kesemua hakim Mahkamah Perlembagaan bersetuju untuk menerima petisyen itu, dan dengan undian 7–2, memutuskan untuk menggantung tugas Paetongtarn.

“Mahkamah sebulat suara bersetuju untuk menerima petisyen untuk pertimbangan, memaklumkan kepada pemohon dan membenarkan responden mengemukakan pembelaan dalam tempoh 15 hari selepas menerima salinan petisyen,” menurut kenyataan itu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan, Suriya Jungrungreangkit akan menjalankan tugas sebagai pemangku perdana menteri sementara mahkamah memutuskan status kes terhadap Paetongtarn.

Dalam perbualan telefon pada 15 Jun dengan veteran politik Kemboja, Hun Sen, Paetongtarn dilaporkan membincangkan pertikaian sempadan yang sedang berlangsung. Namun, beliau didakwa menyalahkan salah faham oleh pihak tenteranya sendiri dan merujuk seorang komander tentera Thailand yang berpangkalan di sempadan sebagai “pihak lawan.”

Perbualan telefon bocor itu disahkan sebagai tulen oleh kedua-dua Hun Sen dan Paetongtarn. Perdana Menteri Thailand itu turut kedengaran memanggil pemimpin Kemboja itu sebagai “pakcik” dalam perbualan berkenaan.

Terdahulu pada Selasa, Paetongtarn telah merombak Kabinet susulan penarikan diri satu daripada rakan gabungan utama serta kekosongan dalam portfolio menteri.

Raja Maha Vajiralongkorn telah memperkenankan rombakan kabinet, dengan barisan baharu dijadual mengangkat sumpah pada 3 Julai.

Dalam senarai Kabinet baharu yang disiarkan dalam Warta Diraja, terdapat 14 pelantikan baharu, manakala enam menteri telah ditugaskan ke portfolio lain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen