malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP sokong lanjutan Tengku Maimun ketika Putrajaya terus membisu
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 5:45 PM
Dikemaskini: 9:45 AM
ADS

DAP hari ini menyatakan sokongan terhadap lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, bertepatan dengan hari terakhir beliau sebelum bersara wajib.

Menerusi kenyataan jawatankuasa kerja pusat parti itu, DAP turut menyatakan sokongan agar tempoh perkhidmatan Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, yang dijadual bersara pada 2 Julai, dilanjutkan.

Jawatankuasa itu menyatakan bahawa lanjutan tempoh bagi kedua-dua hakim berkenaan sejajar dengan agenda reformasi kerajaan Madani.

Abang Iskandar Abang Hashim

Parti itu turut memetik pencapaian kedua-dua tokoh kehakiman tersebut yang telah melaksanakan tugas mereka “dengan cemerlang dan penuh integriti” sebagai justifikasi bagi menyeru agar tempoh perkhidmatan mereka dilanjutkan selama enam bulan, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun lanjutan seperti ini bukan hak mutlak, kami mengambil maklum bahawa lanjutan tempoh perkhidmatan pernah diberikan kepada hakim-hakim kanan terdahulu selepas persaraan wajib, dan kami tidak melihat sebarang sebab mengapa perkara sama tidak boleh dilaksanakan ke atas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan ketika ini,” menurut kenyataan itu.

Menafikan bahawa sokongan DAP terhadap lanjutan ini merupakan percubaan untuk mempolitikkan perkara tersebut, parti itu menegaskan bahawa pendirian mereka lahir daripada pengiktirafan tulen terhadap sumbangan kedua-dua hakim berkenaan kepada pembangunan dan reformasi institusi kehakiman.

“Memandangkan sumbangan dan prestasi mereka, kami berpendapat bahawa lanjutan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun dan Abang Iskandar akan memperkukuhkan lagi komitmen kerajaan terhadap penambahbaikan sistem keadilan dan institusi kehakiman.

“Kami juga mengambil maklum bahawa akan terdapat banyak kekosongan dalam Mahkamah Persekutuan susulan beberapa persaraan hakim baru-baru ini dan yang akan datang.

“Perkara ini menjadikan lebih penting untuk mengekalkan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan sedia ada bagi memastikan peralihan pelantikan baharu ke Mahkamah Persekutuan berjalan lancar,” tambah kenyataan itu.

Kebisuan Putrajaya berterusan

Semalam, Majlis Peguam Malaysia mengecam kebisuan dan sikap ragu-ragu kerajaan Madani terhadap lanjutan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun.

Presidennya, Ezri Abdul Wahab memberi amaran bahawa kegagalan tadbir urus dalam hal ini boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan membuka ruang kepada spekulasi serta persepsi negatif.

Ezri Abdul Wahab

Ezri turut menegaskan bahawa isu ini bukan berkisar soal melobi atau pilih kasih, sebaliknya melibatkan soal keperluan mendesak, ketelusan dan pengoperasian sistem demokrasi berperlembagaan yang betul.

Ahli parlimen DAP merangkap bekas timbalan menteri undang-undang, Ramkarpal Singh, turut menyuarakan pendirian serupa pada Ahad lalu. Dia menegaskan adalah penting untuk mengekalkan kesinambungan dalam pentadbiran kehakiman sedia ada bagi memastikan peralihan kuasa kepada kumpulan hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu berjalan lancar.

Anwar beri amaran

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudiannya mengkritik dakwaan adanya usaha melobi kerajaan agar tempoh Tengku Maimun dilanjutkan.

Dia menyifatkan langkah tersebut sebagai satu cubaan untuk mempolitikkan badan kehakiman dan menegaskan bahawa perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku terhadap sebuah institusi bebas.

Anwar secara sinis berkata, jika amalan seperti itu dibenarkan kerajaan, tidak mustahil ketua setiausaha negara dan penjawat awam lain juga akan melobi untuk mengekalkan jawatan masing-masing.

Hari ini merupakan hari terakhir perkhidmatan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara, manakala Abang Iskandar dijadualkan bersara wajib esok, susulan ketiadaan sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan berhubung lanjutan tempoh perkhidmatan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen