Bekas Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein, hari ini memberi gambaran yang dia tidak akan mengemukakan rayuan sendiri bagi membolehkan penggantungan keahliannya ditarik balik oleh parti berkenaan.
Menurut Hishammuddin, dia tidak bercadang untuk berbuat demikian atas dasar prinsip, selain mendakwa tidak diadili dengan baik sebelum keputusan diambil untuk menggantungnya pada Jan 2023.
Malah, menurut Ahli Parlimen Sembrong itu lagi, keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi juga mendedahkan perbezaan di antara "mereka" dan "kita".
"Semalam MKT telah membuat keputusan mereka. Keputusan ini mencerminkan siapa mereka, bukan siapa kita. Mereka telah buat keputusan.
"Dan sekarang saya teruskan langkah ke hadapan dengan bermaruah dan berprinsip. Inilah perjuangan nilai dan makna.
"Rayuan bukan penentu kesetiaan saya. Prinsip di dalam parti yang menentukan kesetiaan kita sebagai orang parti," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya petang ini.
Tak dipanggil bela diri
Terdahulu, mesyuarat MKT Umno yang bermesyuarat malam tadi menyatakan kesediaan mereka memberi pertimbangan terhadap permohonan atau rayuan menamatkan penggantungan keahlian parti.
Bagaimanapun badan itu menegaskan sekali lagi bahawa ia perlulah datang daripada individu yang terlibat sendiri, bukannya oleh pihak lain.
Ia dinyatakan oleh setiausaha agung parti itu, Asyraf Wajdi Dusuki, dalam kenyataan media malam tadi.
Sumber dalam Umno pula memberitahu Malaysiakini, mesyuarat berkenaan mendengar bagaimana presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa mustahil Ahli Parlimen Sembrong itu tidak tahu sebab dia digantung selama enam tahun.
Jelas sumber yang juga seorang ahli MKT Umno itu, dalam mesyuarat malam tadi Ahmad Zahid mendedahkan punca yang membawa kepada penggantungan keahlian Hishammuddin.
Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun selepas MKT mengadakan mesyuarat pada pada hujung Jan 2023.
Turut dikenakan hukuman bersama Hishammuddin ialah Timbalan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan Suffian, Noh Omar (bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang), Salim Sharif (bekas Ahli Parlimen Jempol) dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.

Noh bagaimanapun meminta agar Umno memecatnya.
Hishammuddin hari ini berkata sehingga sekarang dia masih tidak tahu punca penggantungannya daripada Umno, selain mendakwa tidak pernah dipanggil jawatankuasa disiplin parti untuk membela diri.
Hishammuddin berkata, keputusan MKT Umno malam tadi berhubung isu penggantungannya telah dijangka.
"Saya digantung atas alasan melanggar fasal-fasal tertentu dalam Perlembagaan Umno, tiada sebarang perincian atau penjelasan lanjut.
"Sehingga ke hari saya tidak dimaklumkan secara rasmi dan bertulis kesalahan secara spesifik yang saya didakwa, saya tidak dipanggil untuk penjelasan atau membela diri," katanya.