malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan tolak cabaran undang-undang pembikin filem Mentega Terbang
ADS

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan dua pembikin filem Mentega Terbang untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu perlembagaan berkaitan pertuduhan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, yang melibatkan perbuatan melukakan perasaan agama orang lain.

Peguam Zaid Malek ketika dihubungi berkata keputusan itu menamatkan segala peluang anak guamnya untuk merayu.

“Kes ini kini hanya menunggu perbicaraan di Mahkamah Majistret, yang ditetapkan untuk sebutan pada 1 Ogos,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Zaid bersama peguam Shahid Adli dan Yu Ying Ying hadir di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bagi mewakili dua perayu, iaitu pengarah filem Mohd Khairianwar Jailani, 33, dan penerbit Tan Meng Kheng, 38."

Pada 17 Januari 2024, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan melukakan perasaan agama orang lain di sebuah unit di Diamond Regency, Jalan Semarak Api 2, Kuala Lumpur sekitar jam 12.34 tengah hari.

Mereka mencabar keabsahan Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas alasan ia bertentangan dengan hak kebebasan bersuara seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Pada 14 Jun tahun yang sama, majistret Noorelynna Hanim Abd Halim memberi kebenaran kepada kedua-dua mereka untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.

Zaid berkata hakim memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tidak boleh dirayu kerana ia tidak termasuk dalam Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman."

Dia menambah bahawa mahkamah tidak lagi menghuraikan keputusan itu selain menyatakan ia tidak tertakluk dalam seksyen yang disebut.

Pada 6 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy memutuskan bahawa Seksyen 298 adalah undang-undang sebelum Merdeka yang masih sah digunakan kerana Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang.

Hakim itu menegaskan badan perundangan berkuasa untuk menetapkan sekatan munasabah terhadap kebebasan bersuara dan berekspresi demi kepentingan ketenteraman awam.

"Seksyen 298 selaras dengan masyarakat Malaysia bagi memelihara sensitiviti agama, yang merupakan perkara penting," kata Muniandy dalam keputusannya.

Hakim itu juga menyatakan bahawa Khairianwar dan Tan masih mempunyai hak untuk membela diri dalam kes jenayah yang masih tertangguh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Khairianwar dan Tan berpendapat bahawa Seksyen 298 adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan hak asasi mereka untuk kebebasan bersuara dan berekspresi.

Mentega Terbang, yang ditayangkan pada platform penstriman Viu pada 2021, menceritakan kisah Aishah, seorang remaja berusia 15 tahun yang tertarik dengan konsep kelahiran semula selepas kematian ibunya.

Filem itu menerima kecaman hebat dan beberapa laporan polis dibuat kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan ajaran agama.

Susulan kontroversi itu, Viu telah menarik balik filem berkenaan daripada platformnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen