malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Demo kecam rasuah: Polis panggil Hishamuddin Rais
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 4:24 PM
Dikemaskini: 9:28 AM
ADS

Polis dilaporkan sudah memanggil aktivis Hishamuddin Rais untuk diambil keterangan susulan penglibatannya dalam demo antirasuah di Kuala Lumpur pada 28 Jun lalu.

Hishamuddin berkata dia mendapat panggilan telefon untuk hadir ke Bukit Aman pagi esok.

“Saya akan hadir bersama peguam saya dari NGO Lawyers for Liberty,” katanya dalam makluman kepada media.

Hishammuddin menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di ibu negara Sabtu lalu.

Himpunan aman itu bertukar kecoh apabila seorang peserta menyalakan suar berwarna merah.

Perhimpunan yang disertai kira-kira 100 orang itu bermula jam 2.30 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Insiden berlaku sekitar jam 4.30 petang ketika program hampir tamat, apabila seorang peserta menyalakan suar sebaik sahaja seorang aktivis mahasiswa, Ahsanul Akmal Muhamad Sulam selesai berucap.

Aksi itu menyebabkan seorang anggota polis cuba campur tangan dengan merampas suar berkenaan, namun berlaku kekecohan apabila Ahsanul mendakwa dia dikasari.

Hishamuddin berkata pihak polis akan mengambil kenyataan berhubung keterlibatan dalam demonstrasi Rakyat Benci Rasuah.

Katanya, dia akan hadir di ibu pejabat Polis Bukit Aman esok pada jam 11.00 pagi.

"Saya juga menjemput pengamal media untuk sama mengetahui apa perkembangan seterusnya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen