Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat malam tadi menyatakan kesediaan mereka memberi pertimbangan terhadap permohonan atau rayuan menamatkan penggantungan keahlian parti.
Bagaimanapun badan itu menegaskan sekali lagi bahawa ia perlulah datang daripada individu yang terlibat sendiri, bukannya oleh pihak lain.
Ia dinyatakan oleh setiausaha agung parti itu, Asyraf Wajdi Dusuki, dalam kenyataan media malam tadi.
Sementara itu sumber dalam Umno pula memberitahu Malaysiakini, mesyuarat berkenaan mendengar bagaimana presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa mustahil Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, tidak tahu sebab dia digantung selama enam tahun.
Jelas sumber yang juga seorang ahli MKT Umno itu, dalam mesyuarat malam tadi Ahmad Zahid mendedahkan punca yang membawa kepada penggantungan keahlian Hishammuddin.
Dakwa sumber itu, punca pertama Hishammuddin digantung ialah kerana bekas Naib Presiden Umno itu menghasut sembilan ahli parlimen BN menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU ke-15 lalu.
"Hishammuddin juga merupakan individu yang menghasut supaya 22 daripada 25 Adun BN di Sabah keluar parti.
"Ini adalah antara 'dosa' yang membawa kepada penggantungan Hishammuddin," dakwanya.
Ada rayuan baru bincang
Pada 26 Jun lalu, Ahmad Zahid berkata Umno sedia untuk mempertimbangkan usul menarik balik penggantungan keahlian Hishammuddin yang dikemukakan Umno Sembrong.
Presiden Umno berkata, MKT parti itu boleh mempertimbangkan perkara itu meskipun tiada surat rayuan daripada Hishammuddin sendiri.
Ahmad Zahid juga mengesahkan bahawa sehingga kini Hishammuddin tidak pernah mengemukakan rayuan kepada Umno.
"Kita akan tunggu usul yang akan dibawa oleh Menteri Besar Johor (Onn Hafiz Ghazi) yang turut menanggotai Biro Politik Umno dan (seterusnya) dibawa ke MKT," katanya.
Ditanya apakah MKT Umno boleh membuat keputusan menarik balik penggantungan Hishammuddin tanpa surat rayuan dikemukakan oleh individu berkenaan, Ahmad Zahid menjawab: "Boleh".
Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun selepas MKT mengadakan mesyuarat pada pada hujung Jan 2023.

Turut dikenakan hukuman bersama Hishammuddin ialah Timbalan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan Suffian, Noh Omar (bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang), Salim Sharif (bekas Ahli Parlimen Jempol) dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.
Noh bagaimanapun meminta agar Umno memecatnya.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki berkata MKT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli dikenakan tindakan disiplin parti selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan Umno.
Sementara itu sumber terbabit berkata, tiada agenda membabitkan gesaan supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik dibincang dalam mesyuarat MKT Umno malam tadi.
"Cuma presiden ada komen mengenainya pada mukadimah mesyuarat.
"Tak ada rayuan dikemukakan oleh tuan badan (maka) nak bincang apa? Kalau ada rayuan (barulah) kita boleh bincang," katanya lagi.
Berkenaan usul Umno Sembrong mengenai Hishammuddin, sumber itu berkata, perkara tersebut akan dibawa kepada jawatankuasa usul Perhimpunan Agung Umno.