Amesty International Malaysia menggesa kerajaan mengambil perhatian terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan keperluan notis lima hari diserahkan penganjur perhimpunan kepada pihak berkuasa.
Pengarah eksekutif sementara kumpulan itu, Vilasini Vijandran, menegaskan walaupun peraturan yang termaktub di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 diisytiharkan terbatal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan, kerajaan mesti berhenti bergantung kepada undang-undang penindasan lain untuk menggantikannya.
“Kami sentiasa sedar bahawa pihak berkuasa boleh terus menggunakan Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, dan undang-undang penindasan lain untuk menyiasat dan mengganggu penunjuk perasaan.
“Sekiranya kerajaan Madani benar-benar komited untuk melindungi perhimpunan aman, ia mesti membongkar rangka kerja undang-undang yang lebih luas yang digunakan untuk membungkam perbezaan pendapat dan membawa semua undang-undang selaras dengan perlindungan perlembagaan dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyampaikan keputusan sebulat suara yang menganggap Seksyen 9(5) APA tidak berperlembagaan, susulan cabaran yang dibawa oleh bekas setiausaha agung Muda Amir Hariri Abdul Hadi.
Tengku Maimun berkata Seksyen 9(5) PAA mengenakan hukuman yang melebihi had yang dibenarkan di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Dia juga menyifatkan seksyen itu sebagai "campur tangan yang tidak seimbang" yang menjurus kepada larangan dan bukannya sekatan ke atas hak yang dijamin.
Dia juga mengarahkan supaya prosiding jenayah Amir yang sedang berjalan, berkaitan protes pada 2022 berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS), dihantar ke Mahkamah Tinggi dan dilupuskan selaras dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan.
Dalam mengalu-alukan keputusan penting itu sebagai langkah penting, Vilasini berkata ia menetapkan rujukan yang kuat untuk perlindungan hak yang dijamin oleh perlembagaan untuk berhimpun secara aman.
Dia menekankan bahawa menghukum individu yang ingin menggunakan hak mereka untuk protes aman, semata-mata kerana gagal memberi polis notis lima hari, adalah "sekatan yang tidak seimbang dan menghukum terhadap kebebasan sivik."
“Sudah terlalu lama, pihak berkuasa Malaysia menagani perhimpunan aman sebagai ancaman, diperkukuh oleh dasar berbahaya, naratif dan amalan kepolisan yang menggambarkan protes sebagai jenayah dan bukannya hak demokrasi.
"Keputusan hari ini menandakan peralihan daripada legasi itu. Keputusan ini kini mesti mencetuskan perubahan yang lebih luas dalam cara perhimpunan aman ditangani di Malaysia," tambahnya.
Secara berasingan, kumpulan hak asasi Suaram berkata penghakiman itu menegaskan bahawa perhimpunan aman adalah hak dan bukan keistimewaan yang diberikan mengikut budi bicara pihak berkuasa.
Pengarah Eksekutif Suaram Azura Nasron berkata penghakiman itu juga menyorot tanggungjawab negara untuk memudahkan dan mewujudkan keadaan persekitaran yang membolehkan perhimpunan, termasuk yang mendesak dan spontan.
"Keputusan ini juga memberi kerajaan peluang baru untuk mempertahankan mandat demokrasinya dengan lebih baik dengan memastikan hak untuk berhimpun secara aman dilindungi sepenuhnya - dalam undang-undang dan dalam amalan - sebagai asas tadbir urus participatory dan kedaulatan undang-undang," katanya.
Oleh itu, Suaram menggesa kerajaan untuk menghormati keputusan itu dan segera mengenakan moratorium terhadap penggunaan Seksyen 9(5) dan memastikan pemansuhan sepenuhnya dalam pindaan APA yang akan datang.