malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak bantahan Najib terhadap rayuan kes titah adendum AG
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 3:46 PM
Dikemaskini: 9:56 AM
ADS

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Najib Razak terhadap rayuan Peguam Negara (AG) berhubung kewujudan satu dokumen tambahan yang didakwa membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya dalam tahanan di rumah.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim dalam keputusan sebulat suara, memutuskan bahawa tujuh persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Peguam Negara boleh diadili dan disemak oleh mahkamah.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Mohd Yusof dan Hanipah Farikullah.

Panel berkenaan kemudian menetapkan esok untuk mendengar rayuan AG.

Pada 28 April lepas, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada AG untuk meneruskan rayuan berhubung dokumen tambahan itu.

Rayuan AG itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu, yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Titah tersebut dipercayai diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, berhubung sabitan kesalahan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ia bagi mendapatkan perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan titah bertarikh Januari tahun lalu.

Hakim Hasnah berkata tiga soalan pertama yang dibangkitkan oleh Peguam Negara berkaitan pembentangan bukti baharu merupakan isu perundangan baharu yang memerlukan pertimbangan lanjut oleh mahkamah.

Bagi soalan keempat hingga keenam, beliau berkata soalan tersebut berkaitan peranan Peguam Negara, khususnya berhubung kegagalan memfailkan afidavit balasan pada peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Hakim Hasnah turut memaklumkan pihak Najib berhujah bahawa soalan keempat hingga keenam merupakan cubaan Peguam Negara untuk mengelak daripada mematuhi kewajipan pendedahan telus (duty of candour) yang dikenakan ke atas pihak berkuasa awam atau Peguam Negara dalam prosiding semakan kehakiman.

“Kami mengambil maklum sama ada kewajipan ini boleh dikenakan terhadap Peguam Negara pada peringkat baharu prosiding semakan kehakiman. Soalan ketujuh pula berkaitan kebolehhakiman (justiciability) yang telah disentuh oleh Mahkamah Tinggi.

“Isunya di sini ialah sama ada perkara yang dibangkitkan, iaitu dokumen tambahan (addendum), boleh dipertimbangkan secara kehakiman oleh mahkamah ini. Soalan ini berkait rapat dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, kami berpandangan bahawa semua soalan yang dibangkitkan oleh pihak Peguam Negara bukan bersifat akademik atau hipotesis semata-mata.

“Sehubungan itu, kami sebulat suara menolak bantahan awal oleh responden,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen