malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS gesa tangguh bina Kota Madani
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 3:26 PM
Dikemaskini: 7:26 AM
ADS
1

Pemuda PAS menggesa Putrajaya supaya menghentikan cadangan pembinaan Kota Madani ketika hutang negara disifatkan semakin melebar dan ekonomi rakyat kian menghimpit.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata pembinaan Kota Madani bernilai sekitar RM4 bilion, sedangkan rakyat sedang dihimpit dengan tekanan kos sara hidup, kenaikan cukai, pemotongan subsidi dan ketidaktentuan ekonomi global.

Afnan turut mempersoalkan apakah pulang yang bakal diwarisi generasi muda dengan beban hutang yang bakal ditinggalkan melalui pembinaan Kota Madani.

"Apakah pulangan yang bakal diterima oleh rakyat, terutama golongan muda yang akan mewarisi beban hutang ini dan mengapa projek mewah seperti ini diberi keutamaan, sedangkan peruntukan untuk pendidikan, kesihatan, keselamatan makanan, dan kebajikan rakyat terus dikurangkan?

"Kami mengingatkan kerajaan bahawa masa depan negara tidak terletak pada simbol-simbol kebanggaan perdana menteri, tetapi pada kesejahteraan rakyat marhaen.

"Dalam keadaan defisit fiskal yang melebar dan hutang negara mencecah RM1.3 trilion, adalah tidak wajar untuk kerajaan menambah komitmen baru melalui mekanisme yang tidak telus dan membebankan generasi akan datang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Pemuda PAS mendesak kerajaan untuk menangguhkan projek Kota Madani, membentangkan analisis kos-manfaat secara menyeluruh di Parlimen, dan memberi keutamaan kepada projek-projek yang benar-benar menyentuh kepentingan rakyat terbanyak," tambahnya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pembangunan projek Kota Madani baru-baru ini bukan sekadar menyediakan kediaman kepada penjawat awam, tetapi dirancang secara menyeluruh berasaskan nilai Malaysia Madani.

Menteri Kewangan itu berkata projek Kota Madani merupakan satu langkah strategik kerajaan bagi menyelesaikan isu perumahan penjawat awam yang masih belum memiliki kediaman sendiri dan menunggu giliran masing-masing.

“Ini bukan projek biasa yang sekadar sediakan rumah, tetapi kita beri satu keselesaan yang luar biasa… Sekolahnya dekat, masjid, gimnasium dan taman permainan, semua faktor diambil kira, ia satu kota yang moden berkonsep Madani.

“Kota Madani ini agak moden dengan konsep yang baharu, tetapi meletakkan, mengasaskan kepada nilai. Sebab itu penjawat awam perlu perhatikan faktor ini,” katanya ketika berucap pada perjumpaan bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Sementara itu, Afnan menuntut kerajaan menjelaskan kepada rakyat kos sebenar projek Kota Madani, termasuk komitmen tahunan yang perlu ditanggung dalam tempoh 20 hingga 25 tahun akan datang.

"Walaupun angka rasmi yang diuar-uarkan adalah RM4 bilion, pelbagai indikator menunjukkan bahawa projek ini akan menanggung komitmen kewangan jauh lebih besar dalam jangka masa panjang, berkemungkinan mencecah RM12 bilion ke RM14 bilion sekiranya menggunakan model Pembiayaan Inisiatif Swasta (PFI) yang telah lama dikritik kerana menyembunyikan beban hutang sebenar kerajaan daripada rekod rasmi fiskal negara.

"Apa yang lebih membimbangkan ialah penglibatan anak syarikat Petronas, Putrajaya Holdings, sebagai pemacu utama projek ini.

:Dalam keadaan keuntungan Petronas merosot, pengurangan tenaga kerja, dan tekanan pelaburan dalam sektor ESG, kerajaan sepatutnya melindungi Petronas dan mengelakkan syarikat milik negara itu daripada menjadi ‘ATM politik’ bagi menjayakan projek-projek elitis yang tidak memberi pulangan komersial wajar," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1