malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin ada masalah integriti mesti berundur, kata Warisan
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 3:07 PM
Dikemaskini: 8:35 AM
ADS

Warisan hari ini menggesa mana-mana pemimpin yang berdepan dengan isu integriti perlu berundur berbanding cuba menepis dakwaan yang dikenakan ke atas mereka dengan "alasan dangkal."

Menurut ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mudi Dubing, masalah rasuah merupakan barah kepada negara ini dan tidak wajar ia dibiarkan berkembang tanpa tindakan yang sewajarnya.

Kata Mudi sebelum ini ada ahli politik Sabah yang mendakwa teknologi kecerdasan buatan (AI) yang "boleh buat macam-macam" sehingga seseorang itu dianggap terlibat dengan perbuatan rasuah.

"Malangnya, alasan tersebut terbukti tidak berasas dan hanya bertujuan mengaburi mata rakyat.

"Jika benar video itu palsu dan dimanipulasi oleh teknologi AI, mengapa pihak berkuasa mempunyai bukti kukuh untuk membawa beliau ke muka pengadilan?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia menyusul selepas dua Adun Sabah serta seorang ahli perniagaan didakwa terlibat dengan amalan rasuah di Sabah dan didakwa di mahkamah negeri itu semalam.

Dua Adun terbabit ialah Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Yusof Yaacob (Sindumin), manakala tertuduh ketiga dikenali sebagai Tei Jiann Cheing atau Albert Tei.

Andi didakwa menerima wang tunai RM150,000 daripada Tei sebagai pertukaran untuk memudahkan permohonan lesen cari gali untuk Syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.

Kepercayaan yang dikhianati

Yusof yang juga pengerusi Qhazanah Sabah pula didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei di sebuah bar di atas bumbung Hotel Hilton Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023. Suapan itu didakwa bertujuan membantu memproses lesen cari gali Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.

Sementara itu Tei - seorang ahli perniagaan dari Selangor - berdepan dua pertuduhan menawarkan rasuah kepada Adun.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Pada Nov tahun lalu Yusof dipetik media sebagai berkata, seseorang ahli politik memang mempunyai banyak musuh yang bersedia menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan mereka.

Antaranya, dakwa bekas pemimpin kanan Warisan dan pernah menjadi Pengerusi Bank Rakyat itu lagi, menggunakan teknologi AI untuk menjana suara ahli politik tertentu.

Andi Muhammad Suryady Bandy (kiri) dan Yusof Yaacob

Kata Mudi alasan mengaitkan AI kini terbukti tidak berasas dan mendakwa "kebenaran akhirnya muncul juga" serta menunjukkan kepercayaan rakyat Sabah sudah dikhianati.

"Yusof tidak dimalukan oleh mana-mana pihak luar.

"Beliau sebenarnya memalukan dirinya sendiri, institusi yang diwakilinya, dan pentadbiran yang membenarkan individu seperti ini terus memegang jawatan penting.

Sebagai sebuah parti yang berprinsip dan berteraskan perjuangan rakyat, kata Mudi, Warisan menegaskan bahawa ada tiga perkara besar yang perlu difahami oleh orang ramai.

"Pemimpin yang ada masalah intergriti harus berundur, bukan terus dilindungi dengan naratif dangkal dan alasan teknikal," katanya.

Tambah Mudi, menggunakan alasan teknologi seperti AI untuk mempertahankan diri adalah perbuatan menghina intelektualisme rakyat Sabah.

"Rakyat tidak bodoh. Mereka menuntut kejujuran, bukan sandiwara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen