Amir Hariri Abd Hadi berkata keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan keperluan memberikan notis lima hari bagi penganjur perhimpunan tidak seharusnya mengalih perhatian daripada kontroversi kapal tempur pesisir (LCS).
Bekas setiausaha agung Muda itu, yang didakwa atas dakwaan gagal memaklumkan pihak berkuasa sebelum mengadakan protes berhubung isu LCS pada 2022 menyifatkan keputusan hari ini sebagai kemenangan buat rakyat.
“(Perdana Menteri) Anwar Ibrahim dan pemerintah harus bersiap, kerana selagi mereka tidak bertindak membawa perasuah dan penyangak ke muka pengadilan, selagi itu perlawanan akan digerakkan.
"Bukan semua boleh ditipu, seperti mana penjilat dan pencacai mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyampaikan keputusan sebulat suara yang menganggap Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak berperlembagaan.
Tengku Maimun berkata Seksyen 9(5) akta itu mengenakan hukuman yang melebihi had yang dibenarkan di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Dia juga menyifatkan seksyen itu sebagai "campur tangan yang tidak seimbang" yang menjurus kepada larangan dan bukannya sekatan ke atas hak yang dijamin.
Dia juga mengarahkan agar prosiding jenayah Amir yang sedang berjalan diserahkan kepada Mahkamah Tinggi dan dilupuskan selaras dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan.
Amir berdepan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika didapati bersalah.
Di sebalik keputusan hari ini, dia menegaskan bahawa ini bukan pengakhiran usahanya untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dalam kontroversi berbilion ringgit dibawa ke muka keadilan.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Syahredzan Johan menggesa pihak berkuasa menggugurkan semua siasatan yang sedang dijalankan terhadap penganjur perhimpunan yang gagal memberikan notis awal.
Sambil menyorot bahawa undang-undang yang dianggap tidak berperlembagaan tidak sepatutnya dikuatkuasakan oleh mana-mana cawangan kerajaan, Ahli Parlimen Bangi itu turut menggesa pendakwa raya menarik balik sebarang pertuduhan mahkamah yang belum selesai berkaitan keputusan hari ini.
“Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, kerajaan juga harus mengambil iktibar daripada alasan penghakiman dan meneroka pindaan (kepada Akta Perhimpunan Aman) untuk memastikan bahawa undang-undang itu selaras dengan prinsip perlembagaan apabila mengenai keperluan memberikan notis kepada pihak berkuasa,” tambah Syahredzan dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Februari, Putrajaya membenarkan moratorium membenarkan perhimpunan aman diteruskan tanpa memerlukan kebenaran daripada pemilik tempat, sementara menunggu kelulusan parlimen pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan pindaan itu, yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan ini, akan menghapuskan peraturan yang memerlukan penganjur mendapatkan kelulusan daripada pemilik venue.
Bagaimanapun, dia berkata penganjur masih perlu memaklumkan polis terlebih dahulu.
Syahredzan juga menegaskan bahawa keputusan hari ini memberikan penghakiman muktamad oleh Mahkamah Persekutuan mengenai keperlembagaan Seksyen 9(5) akta itu.
Dia berkata walaupun Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan memihak kepada Ahli Parlimen PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam rayuannya untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya kerana menganjurkan perhimpunan pada 2013, ia kemudiannya membuat keputusan yang berbeza dalam kes berasingan.
"Oleh itu, kita mempunyai dua keputusan Mahkamah Rayuan yang bercanggah mengenai keperlembagaan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, dan tiada penentuan muktamad oleh Mahkamah Persekutuan mengenai isu ini sehinggalah keputusan hari ini," kata Syahredzan.