Pemimpin Umno Pulau Pinang mencadangkan agar parti itu memperbaiki perjanjian persefahaman (MoU) bersama-sama parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Merujuk kepada permohonan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai PKR, Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang, Mohd Noor Ahmad berkata, dalam MoU itu, mungkin perlu diperincikan tempoh ‘bertenang’ untuk sesebuah parti membuka pintu keanggotaan jika melibatkan pemimpin parti komponen kerajaan yang lain, demi kestabilan dan keadilan bersama.
“Kalau perlu di bawah parti-parti kerajan perpaduan ditubuhkan Majlis Disiplin Gabungan untuk menyiasat kes ‘pencurian ahli’, elok direalisasi bersama dengan MoU yang ditambah baik.
“Semua parti komponen juga wajar mempertimbang untuk meminda perlembagaan parti, seumpama, mana-mana ahli yang berpindah kepada parti dalam gabungan boleh dihalang untuk memegang jawatan gabungan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno merasakan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam kerajaan perpaduan mengambil mana-mana ahli di kalangan parti-parti lain dalam gabungan kerajaan.
Walaupun Asyraf tidak menyebut nama mana-mana individu, perkara itu dipercayai merujuk kepada Tengku Zafrul.
Mohd Noor berkata umum mengetahui bahawa secara berperlembagaan, hampir tidak ada suatu mekanisme untuk mengekang amalan “tak wajar” tersebut.
Katanya Perkara 10(1)(c) memberi ruang seperti kebebasan berpersatuan, termasuk kebebasan untuk menyertai parti politik.
“Sungguhpun begitu, ia kini tertakluk kepada Perkara 10(2A) yang membenarkan undang-undang mengehadkan kebebasan itu untuk mencegah lompat parti.
“Perkara 49A yang dimasyurkan melalui pindaan pindaan tersebut pula menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan Rakyat hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika dia melepaskan keanggotaan parti, atau menyertai parti politik lain selepas dipilih dan bertindak sebagai wakil bebas setelah keluar dari parti asal.
“Pun begitu, kalau atas sebab parti dibubarkan atau dipecat dari parti serta bukan keluar secara sukarela; dan wakil rakyat menang atas tiket bebas lalu menyertai parti, tidak akan menyebabkan dia hilang kerusi tersebut,” katanya.
Tambahnya, merujuk kes Tengku Zafrul menyerahkan surat melepaskan keahlian Umno pada hujung bulan Mei lepas, ia adalah berperlembagaan kerana dia bukan dipilih melalui proses pilihan raya.
Katanya, bekas bendahari Umno itu dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, lalu ditaklifkan sebagai menteri.
“Saya bukan berlawan arus dengan keputusan yang dimuktamadkan oleh MKT Umno, bukan juga menyokong tindak tanduk Zafrul.
“Sejujurnya Umno sendiri tidak wajar bersikap defensif dalam isu berbangkit ini. Parti ini perlu lebih agresif melakukan kerja-kerja pengkaderan dan pengembangan anggota untuk lebih setia pada Umno.
“Umno perlu mengadakan polisi yang relevan dengan citarasa ahli dan rakyat Malaysia, ia adalah langkah proaktif untuk mengikat harapan semua kembali memberi sokongan kepada Umno pada pilihan raya umum akan datang,” kata Mohd Noor lagi.