Seorang pemimpin PAS yang menggambarkan senario perkauman berhubung pelantikan seorang leftenan jeneral Cina pertama di Malaysia telah dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk disoal siasat pada Sabtu lalu, dengan telefonnya turut dirampas untuk siasatan.
Menurut satu kenyataan oleh MCMC, pihaknya telah merekodkan keterangan seorang individu berhubung satu hantaran di media sosial berhubung kandungan jelik bersifat perkauman.
“Kandungan tersebut dipercayai menyentuh pelantikan Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu dengan naratif perkauman yang berpotensi mencetus provokasi serta menggugat perpaduan dan keharmonian negara.
“Susulan itu, individu tersebut telah dipanggil bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan. MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM untuk melengkapkan siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” petik kenyataan itu.
Walaupun MCMC tidak menamakan individu terbabit, Malaysiakini difahamkan bahawa dia adalah Ketua PAS kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad.
Malaysiakini telah menghubungi Zaharudin untuk mendapatkan ulasannya.
Dilaporkan bahawa Zaharudin, yang juga menantu kepada presiden PAS Abdul Hadi Awang, memuat naik satu hantaran di Facebook yang dilihat memberi bayangan tentang seorang individu berbangsa Cina dari "Kampung Sungai Baru" dilantik menjadi perdana menteri ke-50 Malaysia.
Dia juga memberi gambaran kononnya tokoh terbabit dilahirkan oleh pasangan warga asing yang mendapat kerakyatan negara ini melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan "membeli kondo di situ 23 tahun yang lalu."
MM2H ialah program yang membolehkan warga asing menetap di Malaysia sebagai rumah kedua mereka dengan syarat memenuhi keperluan undang-undang yang ditetapkan.
Peserta MM2H diberi kebenaran untuk tinggal di negara ini bagi tempoh sehingga 10 tahun dan terbuka kepada pembaharuan.
"Tidak mustahil berita ini akan keluar dan jadi nutral 30 40 tahun akan datang," kata Zaharuddin.
Dia kemudian mengiringi hantaran tersebut dengan tangkap layar laporan berita mengenai penganugerahan pangkat leftenan jeneral kepada Komandan Maktab Ketahanan Nasional, Mejar Jeneral Johnny Lim Eng Seng.