Polis Pahang sudah menghantar kertas siasatan membabitkan kejadian seorang kerabat diraja Pahang didakwa menikam seorang peniaga di sebuah kelab malam, dekat Kuantan, ke pejabat peguam negara (AG) 23 Jun lalu.
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, kertas siasatan itu kejadian yang dilaporkan berlaku awal Mei lalu itu sudah dilengkapkan dan pihaknya sedang menunggu arahan seterusnya daripada pihak AG.
"Kes ini kita buka siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan juga telah kita hantar ke pihak AG.
"Pihak AG telah memulangkan balik untuk kita lengkapkan siasatan, dan kita telah lengkapkan siasatan itu dan serahkan balik kepada pihak AG.
“Kita tunggu keputusan lanjut daripada pihak pendakwa raya," katanya ketika ditemui media selepas hadir menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.
Yahaya turut memaklumkan seramai 13 individu sudah diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan,termasuk mangsa yang dipanggil untuk tujuan pengecaman.
Dalam kejadian awal pagi 8 Mei lalu, seorang peniaga mendakwa dipukul dan ditikam oleh sekumpulan lelaki - termasuk seorang individu dipercayai kerabat diraja Pahang - ketika berada di sebuah kelab malam, dekat bandar raya Kuantan.
Berdasarkan satu laporan polis yang tular di media sosial bertarikh 5 Jun, pengadu berusia 30 tahun mendakwa dirinya diserang kumpulan lelaki itu selepas insiden 'melanggar' kerabat Pahang sebanyak dua kali di pusat hiburan lain.
Pada malam kejadian, pengadu yang hadir bersama adik dan saudaranya, dipelawa berbincang oleh seorang lelaki dipercayai pembantu kepada kerabat berkenaan tentang bagaimana untuk menyelesaikan perkara itu.
Setelah tawaran membelanja bir kepada kerabat itu ditolak, pembantu kerabat tersebut didakwa mencadangkan supaya pengadu memberi 'angpau' kepada kerabat itu.
Pengadu kemudiannya menyerahkan wang tunai berjumlah RM1,200.
Pengadu mendakwa dia kemudiannya dibawa ke bilik karaoke untuk bersemuka dengan kerabat terbabit dan diarahkan memohon maaf. Di situlah, menurut pengadu, dia diserang secara fizikal.
Kerabat tersebut juga didakwa mengeluarkan sebilah pisau lipat dan menikam mangsa di bahagian punggung, sebelum dihalang kakitangan kelab dan pengawal peribadinya.
Sementara itu, ditanya mengenai isu kecurian dilaporkan berlaku di sepanjang landasan ECRL di Pahang, Yahaya memberitahu, satu mesyuarat khas berkaitan perkara itu akan diadakan 4 Julai ini.
Katanya, kebanyakan laporan berkaitan kecurian itu berlaku di tapak projek dalam daerah Kuantan dan Maran.
"Kita sudah tubuhkan pasukan petugas khas bagi tujuan pemantauan kes ini dan kita juga ada memberi cadangan kepada pihak ECRL antaranya memasang CCTV di kawasan simpanan bahan binaan atau peralatan untuk projek mereka.
"Seperti yang kita maklum, laluan ECRL ini ada di kawasan agak tersorok atau jauh dari tumpuan dan laluan orang awam, kita pun tak pasti berapa lama mereka ambil masa untuk pasang landasan di kawasan tertentu.
"Jadi, kita harap dapat kerjasama juga daripada pihak ECRL... mencegah (kecurian) itu lebih baik dan kita minta kerjasama pihak ECRL juga dalam membantu dalam hal ini," katanya.
Sebelum ini, MRL selaku pemilik utama projek ECRL menyatakan kebimbangan mereka susulan kejadian kecurian kabel yang sering berlaku di tapak projek mereka.