malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi balas Puad: Jangan lebih bakar, saya tak gentar penjara
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 1:16 PM
Dikemaskini: 10:47 AM
ADS

Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, membalas kenyataan pemimpin Umno, Puad Zarkashi, semalam yang mengingatkannya agar tidak "terlebih bakar" kerajaan kerana "kes boleh dicari".

Menurut Rafizi, dia selama ini mengelak membalas sindiran berulang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu kerana menghormati kedudukan masing-masing ketika berada dalam kerajaan perpaduan.

"Bertahun-tahun dia cuit saya tapi saya tidak pernah balas. Sebahagiannya kerana saya menghormati tata cara bila duduk bersama dalam kerajaan, sebagai pimpinan kanan PKR, saya tidak wajar menghentam secara terbuka seorang wakil rakyat dari Umno.

"Sepatutnya, orang berbudi kita berbahasa. Tapi tidak begitulah, sebab manusia ni ada macam-macam jenis," katanya sinis menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.

Rafizi berkata dirinya tidak pernah gusar dengan ugutan sebegitu, malah bertegas bahawa sepanjang menjadi menteri, dia menjaga integriti dengan tidak mencampuri urusan perolehan.

"Kalau saya takutkan ada kes, saya tidak meletakkan jawatan. Saya akur kepada apa saja yang dikehendaki. Suruh saya diam, saya diam. Suruh saya melompat, saya melompat.

"Sepanjang saya menjadi menteri, saya tidak pernah memanggil KSU (ketua setiausaha) atau pegawai untuk apa-apa yang bersabit perolehan.

“Bidang yang memang kuasa saya (contohnya meluluskan perolehan hartanah Bumiputra melebihi nilai RM20 juta), itu pun saya buat satu jawatankuasa agar ia diputuskan oleh JK, bukannya saya sendiri.

"Insya-Allah, saya tidak pernah diugut, dipanggil atau dilaporkan ada kes," katanya.

Rafizi turut mengingatkan bahawa dia pernah melalui episod penjara ketika pentadbiran terdahulu yang turut melibatkan Puad.

"Masa Puad Zarkashi jadi KP Jasa, kerajaan itulah dan pimpinan parti dialah yang mengheret saya ke mahkamah sehingga 14 kes, termasuk dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.

"Masa itu pun saya reda semuanya dan saya serahkan kepada ketentuan Allah."

Rafizi pernah didakwa pada 2012 mengikut Seksyen 97 Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia), bersama seorang kerani Public Bank ketika itu, Johari Mohmad kerana membocorkan data perbankan daripada National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

Kedua-dua mereka didapati bersalah pada 2018 dan dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan.

Pada 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengketepikan sabitan terhadap Johari dan Rafizi yang ketika itu adalah naib presiden PKR. Masing-masing dibebaskan dan dilepaskan daripada hukuman penjara 30 bulan.

Pada 2016, Rafizi turut dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) apabila mendedahkan laporan audit 1MDB. Bagaimanapun, dia akhirnya dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Rayuan.

Rafizi turut mengimbau peranan Puad sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang kini dikenali Jabatan Komunikasi Komuniti (Jkom) ketika pentadbiran BN sebelum pilihan raya umum 2018.

Pada ketika itu, katanya, Jasa berperanan mempertahankan perdana menteri ketika itu daripada isu-isu yang beliau sendiri bangkitkan.

"Memang letihlah nak bersilat dengan isu-isu yang saya bawa ke arah PRU 2018.

"Mungkin kerana dilihat tidak berapa berfungsi semasa menjadi KP Jasa, dia digugurkan dari menjadi calon Umno Parlimen Batu Pahat dalam PRU 2018. Kecoh sebentar dia nak bertanding bebas, dilaporkan sudah beli dua borang pun,” sindirnya.

Rafizi turut menyentuh kemenangan Puad di DUN Rengit dalam PRN Johor 2022 sebagai satu-satunya pencapaian selepas berdekad dalam politik.

"Nasib baik, PKR/PH masuk PRN Johor 2022 dalam keadaan sendu. Menanglah kerusi Rengit. Berpuluh tahun penyertaan Puad Zarkashi dalam politik dan Umno sejak 1990-an, menang sekali di parlimen dan menang sekali di DUN," katanya.

Menutup kenyataan, Rafizi menyeru agar Puad tidak terlalu sibuk memikirkan nasib politiknya, sebaliknya bermuhasabah diri.

"Nasihat saya kepada Puad Zarkashi, jangan bimbangkan pengakhiran politik saya.

"Lebih baik fikirkan amalan dan dosa pahala masing-masing, lebih-lebih lagi kalau umur itu 20 tahun lebih tua dari saya."

Puad sebelum ini mengkritik Rafizi susulan kenyataannya berhubung rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), yang didakwa sebagai reaksi tergesa-gesa kerajaan selepas kritikan dalam media sosial terhadap menteri komunikasi, Fahmi Fadzil.

Fahmi dikritik selepas kenyataan beliau bahawa RMK13 adalah “usaha berpasukan” dianggap menafikan peranan Kementerian Ekonomi, yang diterajui Rafizi semasa penyediaan dokumen itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen